Ter-Sesat

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH
'Ter-' adalah imbuhan awalan yang digunakan untuk dua perkara. Pertama, menerangkan keadaan sesuatu yang tiada lawannya untuk aspek-aspek tertentu, selalunya merujuk kepada sifat dan digunakan bersama kata sifat. Contoh: terbesar, terkuat, tertinggi. Kedua, digunakan untuk menerangkan suatu keadaan, kejadian atau akibat yang tidak disengajakan atau berada di luar kawalan dan digunakan bersama kata kerja atau kata sifat. Contoh: terlanggar, tersedar, tertikam, terbuka. 'Tersesat' entri ini merujuk kepada pemahaman kedua ini.

Banyak kali saya sebutkan dalam artikel-artikel yang saya tulis, entri-entri yang saya pos dan komen-komen yang saya letak dalam laman sosial; manusia terwujud di muka bumi kerana mencari erti diri. Mereka bertebaran di muka bumi manapun, dalam budaya apapun, dengan kepercayaan apapun, kalau mereka pulang kepada diri sejati, persoalan "Siapa aku?" dan "Ke mana harus aku pergi?" selalu jadi dasar penerusan hidup. Sepanjang pencarian banyak situasi dilalui dan pengalaman diraih.

Namun biasalah, kita semua manusia biasa. Selalu saja kita melakukan kesilapan. Dalam konteks mencari erti diri, kita selalu terlajak ke daerah yang tidak sepatutnya kita lawati. Daerah yang fizikalnya nampak indah, namun memakan diri. Kita asyik dengan ilusi bahawa di sinilah 'diri' kita-walaupun ianya berlawanan dengan fitrah dan agama-sehingga bahagian diri kita yang sedia ada tercicir di sepanjang jalan. Tidak mengapalah, dengan itu, kita temukan jalan baharu.


"Allah, peliharalah kami di jalanMu yang lurus; jalan bagi orang yang Kau berikan nikmat dan Kau sayangi dan Kau rahmati, dan jangan-ya Allah-jangan jalan orang yang Kau murkai lagi tersesat. Aaamiiin."

Comments

Popular Posts