Dunia

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Apabila hati tidak tenang, hanya ada dua jalan untuk mententeramkannya; menghadap dunia atau menghadap Tuhan. Sedangkan menghadap dunia itu tidak akan memberikan ketenangan yang abadi, cuma menangguhkan sedikit kesannya ke masa depan, atau membutakan manusia supaya tidak melihatnya, menghadap Tuhan memperkuat manusia agar terus bertenaga menghabiskan saki-baki kehidupan dan melangsaikan kegundahan dengan rasa aman.

Dan salah satu jalan sukar itu adalah berdakwah. Selalu berdakwah, akan timbul persepsi memburukkan dan sengaja menyebabkan si dai'e dipandang buruk atau jatuh keyakinannya, apalagi yang baru saja kenal Tuhan. Ada juga yang dipandang rendah kata-katanya, meskipun ia kata-kata yang benar, kerana ia tidak berjubah, berkopiah, tidak berjanggut dan bercelak. Ingatlah, hanya Allah SWT jugalah yang Maha Mengetahui hati manusia.

Buat si munafik dan si muttaqin

Seperti yang saya sebutkan di atas, ada manusia menghadap dunia saat jiwanya tenang. Maka ia mulalah membuat perkara-perkara yang dirasakannya betul dan boleh menghapuskan gundah-gulana yang mengisi jiwa. Naik setingkat lagi, mulalah ia mengganggu manusia yang telah menemukan ketenangan dengan mengingati Allah, supaya join dia dalam kegusarannya. 

Wahai munafik! Ketahuilah bahawa manusia yang sudah mengenal Tuhannya dan sedar tujuannya dan yang bersungguh-sungguh berdakwah pada jalanNya adalah manusia yang sudah menemukan mahligai ketenangan dalam jiwanya. Berusahalah engkau, wahai munafik, berusahalah dengan sepenuh tenaga untuk mengguncang mahligai itu, kau akan dapati dirimu lemah di depannya.

Dunia pada akhirat seperti pasir menutup batu. Angin masa akan menghembusnya perlahan-lahan, sehingga semuanya tidak bersisa, meninggalkan kamu dan pembelaan terhadap dirimu sendiri. Ketika itulah sikap dan tindakan yang kamu rasakan benar, amalan yang kamu endahkan dan kebenaran yang kau persenda akan menghujatmu, memberati timbangan dosamu.

Dan wahai orang-orang yang menemukan ketenangan! Peluklah hidayah Tuhanmu seolah-olah itulah saja harta yang kaupunya di dunia. Buka bukuNya sentiasa, hiraukan mereka para munafiqin yang sentiasa gatal menggiatmu untuk berhenti berbuat baik. Mereka itu separuh syaitan; kebaikan dan kebenaran membakar jiwa mereka.

Bersabarlah, wahai manusia terpilih, dunia ini sementara. Tangis, air mata dan darahmu akan memberati timbangan amalmu. Kebajikan yang kamu sangkakan kecil, akan turut memberatinya, malah menyelamatkanmu dari menjadi 'ashaabul masy`amah' (golongan kiri), yakni yang 'amma man utiya kitabahu waraa`a zahrihi' (yang menerima kitabnya dari belakang)(golongan neraka).

Bersaudaralah sesama kamu. Ingat pesan Saidina/Imam Ali r.a ketika ditanyakan oleh pengikutnya dengana nama apa patut pengikut Muawiyah r.a dipanggil? Apakah munafik? Apakah fasik? Atau kafir? Jawabnya dengan tenang, "Saudara. Kerana mereka menyembah Tuhan yang sama dan berpandukan Kitab yang sama". Tidak kiralah ekonomi atau sosial bahkan politik, kasihilah mereka melebihi orang-orang yang benar-benar memusuhi kamu berdua.

Jangan jadikan dunia tujuan utama. Marilah kita terus mengorek apa di sebaliknya supaya inshaAllah kita temukan hakikat. Pelihara niat kita. Pelihara akhlak kita sebaiknya. Pelihara amalan kita, Pelihara lidah kita (hamba ini, kalau pasal menjaga lidah, paling lemah). Peliharalah pandangan kita. Allah akan Memelihara kita, inshaAllah.
"Ya Allah, Engkau selamatkanlah aku, ahli keluargaku dan saudara-saudariku yang beriman dan berjuang pada jalanMu dari azab api neraka dan azab kubur. Halalkanlah kami untuk melangkah masuk ke syurgaMu, bertemuMu dan bertemu RasulMu. Kembalikanlah kami kepadaMu. Aamiin."

Comments

Popular Posts