Jubah Hitam Dalam Almari

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Setiap kali sebelum bergerak turun ke surau, ketika sedang bersiap menepuk-nepuk bedak pada badan dan menyarung baru serta seluar, saya akan merenung jubah hitam yang tergantung di dalam almari saya. Sudah dua bulan saya membelinya, dan baru sekali memakainya. Jubah hitam yang panjang  hingga paras bawah betis dibeli di Melaka itu kelihatan sedih:- dirinya kurang dipilih berbanding pakaian-pakaian lain.

Pernah sekali saya memakainya--dan itulah kali pertama saya memakai jubah ke mana-mana--saya langsung turun ke surau. Ketika menuruni anak tangga, saya bertembung dengan dua orang saudara yang saya cukup, cukup hormati. Mereka sedang naik ke atas. Saya berikan senyuman lebar, lalu mereka membalasnya. Sampai saja saya di tingkat bawah dan mereka di tingkat atas, saya dengar ketawa berdekah-dekah yang panjang. Lalu saya lihat diri: "Apa yang telah kau buat ini, Yassin?!"

Saya kuatkan hati untuk percaya, bahawa itu adalah contoh dugaan untuk manusia yang sedang memperbaik diri mereka. Saya pujuk jiwa, bahawa saya harus kekal begini; kalau ada yang perlu berubah, merekalah yang perlu berhenti ketawa dan mulai menerima pilihan baharu saya. Sepanjang-panjang solat saya berperang dengan iman, perasaan dan fikiran; saya cuba semahu-mahunya untuk bertenang dan terus lakukan apa yang sedang saya lakukan.

Ternyata, itulah kali terakhir saya memakainya. Tidak lagi.

Memakai jubah seakan-akan kamu perlu mencapai paras ambang (threshold) iman dan amal tertentu, baru layak memakainya. Saya muliakan benar jubah, kerana ianya secara ortodoks terkait dengan takwa seseorang (contoh lain: kalau kamu berserban, maka iman kamu hebat) dan maaflah; mungkin saya belum mencapai tahap itu. Dengan muka lanun, perangai lanun sebegini, barangkali saya belum layak untuk memakainya. Maka saya simpan impian bahawa satu hari nanti saya akan layak memakainya.

Jubah hitam dalam almari saya masih menunggu untuk saya bersihkan debu pada bahagian bahunya, dan saya sarungkan pada badan, dan semburkan padanya wangi-wangian, dan saya pakai dalam solat jemaah di surau-surau dengan penuh ingatan pada Allah SWT dan RasulNya (SAW). Sekarang ini, sampai kini, saya masih menunggu waktu sesuai itu.

Comments

NadJoliey said…
Haha, I SERIOUSLY need to tell you something related to this story,, tapi ndamau komen terbuka sini. Nanti orang lain tau :p

Kalau sy teringat, sy bagitau.
mizreena said…
lepas aku baca ni, tiba2 aku pulak terpikir...layakkah aku pakai jubah, tudung labuh dgn penutup muka?(read:niqab). Ohsentap.
Sven Medyona said…
NadJoliey: I am waiting. Hwaiting, sorry.

MizReenA: Hmm... jangan ter'provoke' dengan cara fikir saya. Keep it up!

Popular Posts