Luncai & Labunya

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Orang Melayu semakin tertolak ke pinggiran Semenanjung. Tempat mereka berpijak semakin kecil keluasannya, dan mungkin kerana inilah, pertelagahan sesama mereka semakin hari semakin sengit; mereka berebut tempat berpijak. Bangsa lain, baik dari luar mahupun dari dalam hanya tersenyum puas, gelak besar berdekah-dekah sehingga mengalir air mata, dan menghitung detiknya semua bangsa Melayu lemas dalam lautan fanatisme dan sentimen kepartian yang terlampau.

Hazwan bawa saya berbincang berkenaan Islam, semalam. Berkenaan nasib umat Islam yang sama segala ciri fizikal dan ciri rohani, namun bermusuhan pada aspek politik. Saya katakan mudah sahaja, orang Melayu harus semuanya sepakat. Selagi orang Melayu (yang menurut Perlembagaan Persekutuan, semuanya Muslim) muafakat, selagi Raja-Raja Melayu dijunjung dan tidak dicemari tangan-tangan penuh najis golongan sosialis, maka jangan risau, Islam kan terpelihara.

Orang Melayu sekarang ini, bagai dua orang adik-beradik. Asyik saja mereka bertumbuk tendang, berebut semua barang permainan, tanpa menyedari bahawa anak orang mata sepet kampung sebelah perlahan-lahan menyusupkan tangan di antara mereka, dan merampas barang permainan tersebut. Yang tinggal, dua orang anak Melayu berdarah hidung, lebam-lebam dan pulang ke rumah keduanya tanpa apa-apa dalam tangan. Menang jadi abu, kalah jadi arang.

"Mukan rasis maa!"

Saya bukanlah rasis. Saya hormati orang-orang Cina, kerana saya percaya ada antara mereka yang benar-benar menghayati kontrak sosial serta menghormati hak-hak orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan. Musuh saya cumalah yang berada dalam kalangan mereka yang mempersoalkan keMelayuan Perdana Menteri, keistimewaan bumiputera, kedaulatan Raja-Raja, ketuanan Melayu dan keIslaman Persekutuan ini. Mungkin mereka salah tafsir satu bangsa Malaysia sebagai penyatuan semua bangsa dari segi hak. Ini salah.


Saya percaya, tindak-tanduk mereka yang bersifat pembelot kepada negara itu, dan menikam ‘tuan rumah’ tanah ini adalah manusia yang sekadar memberikan respon kepada kejatuhan bangsa Melayu. Mereka sama ada tidak faham kontrak sosial, atau mengendahkannya, atau melihat peluang untuk meningkatkan setahap lagi bangsa mereka (mencintai bangsa itu adalah fitrah). Saya tidak bermain persepsi. Saya tidak membuat-buat kenyataan sendiri; bukti-bukti memang nampak.

Sementara sebahagian umat Islam masih mempertahankan perangai rakan politik mereka yang chauvinis, dan sebahagian lagi menuduh orang Melayu yang bercakap mengenai pembelaan bangsanya serta agamanya di buminya sendiri sebagai rasis, dan membuka tangan luas-luas kepada pluralisme sedang mereka menutup pentafsiran alternatif Qur`ani saudara seagama mereka, dan terus-terusan bersikap ego atas segala kebobrokan parti mereka; Melayu akan terus mundur, dan tertolak ke pinggiran.

Kalau ini berterusan, sediakanlah labu kamu wahai luncai-luncai sekalian; kita semakin tersisih ke tebing.

Comments

Popular Posts