Pasca PRU 13

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Sedihnya, tidak dapat merasa 'aiskrim' baharu. Walau bagaimanapun, alhamdulillah, keadaan negara kita setakat ini masih aman damai. Tahniah diucapkan kepada yang menang dan kepada yang kalah: "Lain kalilah!". Menang atau kalah, masing-masing mendapat habuan masing-masing, baik rahmat mahupun pengajaran.

Pengajaran

Sepanjang sejarah Islam, belum pernah diperlihatkan kepada kita perpecahan umatnya akan menghasilkan kemenangan. Madinah dikuasai melalui persaudaraan Muhajirin dan Ansar atas penyatuan, bukannya perpecahan. Begitulah juga dengan kisah penaklukan Konstantinopel, pengusiran tentera Itali dari padang pasir Arab sehinggalah ke kemerdekaan Tanah Melayu. Ulanglah berapa kali pun, penyatuanlah yang mengangkat nasib ummah.

Dari segi demokrasi, sememangnya ini adalah logik mudah:- apabila ummah ini terpecah kepada dua, pastilah sama ada seri atau satu sahaja yang menang namun dengan jumlah yang kurang dari sepatutnya. Lihat sahaja margin Barisan Nasional (BN) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pada peringkat parlimen; kedua-duanya kehilangan dua kerusi berbanding pada Pilihan Raya Umum 2008.

Bayangkan PAS bersatu dengan Barisan Nasional, meninggalkan tahaluf siyasinya bersama Parti Tindakan Demokrasi (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang secara respektifnya meraih 9 dan 7 kerusi parlimen tambahan, memang pasti ummah ini menang majoriti mudah 2/3. Kalau sedemikian banyak orang Islam di dalam parlimen, bukankah lebih mudah ikhtiar ke arah negara yang lebih  Islamik?

Barisan Nasional perlu pertahankan kemenangan ini, kerana ketakutan sebenar saya adalah pada PRU ke-14, jika keadaan polarisasi sesama umat Islam ini berterusan. Kita tidak boleh membiarkan musuh dalaman mahupun luar menghancurkan perpaduan ini. Pengorbanan besar perlu dibuat oleh PAS dan BN. Yang hijau perlu yakin penuh takwa dengan hijaunya, yang biru perlu lebih usaha dan telus.

Apapun, ini pandangan peribadi. Memang ada silap dan salah, sebetulnya.
"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." - Qur`an, 49:10

Comments

Popular Posts