Perpaduan dan Pendidikan: Seiring Tapi Tidak Sehaluan

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH
Alhamdulillah, satu kerja sudah disiapkan. Maha Suci Tuhan yang mempermudahkan segala-galanya. Entah di manalah saya jika bukan kerana kasih-sayangNya. Yang sedihnya, saya kuat memberontak, berjalan seiring dengan suruhannya, tetapi kadang-kadang tidak sehaluan. Dan segala puji bagiNya juga kerana saya diberikan kekuatan untuk melawan resmi diri untuk tidak turut serta dalam kelab debat. Abang Rafee dan Amer sudah desak dan entah kenapa, diringankah hati dan jari untuk menulis nama. Maka, saya secara rasminya pendebat maktab (eh, belum apa-apa, sudah riya'). Ahahaha. Gurau jaa~

Ini adalah `usul debat yang sangat susah

Ahahaha. Jangan pedulikan bahasa hiper-baku dan skematik di atas. Asalkan dapat difahami, sudah kira bagus. Baiklah, kalau kamu ditanya apa maksud seiring tapi tidak sehaluan, apa yang kamu jawab? Saya dengar ada banyak idea masa kelas debat semalam. Saya sedih, sebab tiada satupun yang sependapat dengan saya. Itulah sebabnya saya mendiamkan diri (penakut kepada salah, sedangkan tidak berkata apa-apa itu sendiri adalah kesalahan). Ada dua pemahaman saya, sebenarnya, kita 'cross-check' lah mana lebih baik.

Bagi saya, maksudnya boleh dipermudah dengan analog niat dan destinasi. Seperti contoh: dua orang hendak ke sebuah kedai. Mereka jalan bersama-sama dan perkataan 'seiring' mencadangkan bahawa mereka bergerak pada rentak yang sama, oleh itu sudah pastilah menggunakan pengangkutan serupa. Yang membezakan adalah tujuan mereka, maksud saya, niat mereka ke kedai tadi. Boleh jadi si A pergi kerana memang shifnya untuk bekerja dan si B pergi untuk membeli barangan runcit, kan? Boleh jadi si A hanya sekadar untuk berlepak menggiat anak perempuan pemilik kedai dan si B sekadar mahu menziarahi rakannya, si pemilik kedai.
Sebelum itu, perlu kita perjelaskan terlebih dahulu siapa si A dan siapa si B, dan dalam usul di atas, memang sudah terang si A dan si B adalah pendidikan dan perpaduan. Jika kita menggunakan analog di atas, maka kita boleh saja merujuk kepada hasrat yang umum: 1Malaysia, namun niat untuk mencapai 1Malaysia itu berbeza. Pendidikan berkeinginan untuk mencapai 1Malaysia kerana ingin melestarikan intelektualisme negara, manakala golongan ahli perpaduan berkeinginan untuk melahirkan negara yang patriotik pada satu gagasan. Tidak mustahil, kan?

Pengertian saya yang kedua adalah 'serentak, tetapi berlainan tujuan'. Analoginya adalah sama juga, berkenaan kedai. Si A dan si B menggunakan kenderaan dengan kelajuan yang sama, tetapi si A ke kedai B manakala si B ke kedai A. Dalam Fizik, seiring paling didekati definisi rentak yang sama, dengan kekerapan yang sama. Namun keserentakan tidak membawa konotasi berkongsi destinasi yang sama. Jatuhnya buah epal dan buah pear secara seiringan dari meja, tidak menjadikan mereka serupa dan tidak memberikan kita ruang pasti berkenaan titik impak jatuh keduanya.

Secara kontekstual, pemahaman yang kedua ini boleh saja diletakkan pada realiti polisi kerajaan Ada ura-ura mengatakan bahawa perpaduan dan pendidikan akan cuba dibersamakan prioriti pembangunannya oleh kerajaan. Namun memandangkan definisi dan sifat pendidikan dan perpaduan itu sendiri yang berbeza, maka betapa keras sekali pun usaha Kerajaan menyamaratakan layanan mereka terhadap keduanya, alhasilnya tetap akan tidak berubah.

Konklusi (semacam penggulunganlah)

Meskipun tidak sehaluan, tetapi memang tidak dapat dinafikan bahawa perpaduan dan pendidikan adalah mutual. Bergandingan. Betapa berbeza bagaimanapun keduanya, baik dari segi sifat dan pensifatan, tujuan, definisi, cara penyempurnaan dan kesannya terhadap manusia, kedua tidak patut dipisahkan. Jikalau bukan kerana kebijaksanaan Nabi Muhammad SAW, mana mungkin Ansar berpadu dengan Muhajirin. Menurut konteks nasional, mana mungkin kemerdekaan dapat dicapai jika bukan kerana toleransi yang bercambah dari perpaduan rakyat dan kebijaksanaan para pemimpin pra-Merdeka yang terdiri dari empat rumpun utama rakyat Malaysia.

Comments

Popular Posts