Hidup Bukan Pilihan

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH


Bila saya bandingkan dunia yang menjadi impian saya dengan dunia realiti yang sedang saya hidupi sekarang, saya terkadang menangis. Benar katanya, "You may not have the world that you dream of", maka bagaimana kamu melayan kenyataan ini? Adakah dengan mengendah penghargaan akan nikmat-nikmat yang sedia ada? Atau berusaha sekeras-kerasnya, walaupun tahu ianya tidak akan berhasil?

Orang kata, "Just Do It", "Because You're Worth it" dan "Nothing Is Impossible" kerana "Everything Is In Your Head". Tapi dengan tekad sekental darah Medusa dan sekeras emas Midas, patutkah kita membutakan mata, merealisasikan perihal yang tidak realistik? Barang contoh, saya bercita-cita menjadi supermodel (teman-teman, bertenang. Ini sekadar tamsil). Melainkan saya melanggar norma-norma, ianya akan kekal berada dalam lingkungan mustahil.

Saya bercita-cita untuk melawati Rom, Itali, Perancis, United Kingdom, Burma, China, Kanada dan bermastautin sebentar di Amerika. Selain di dalam mimpi dan angan-angan siang, ia tidak wujud. Saya kepingin untuk punya almari dengan puluhan baju kolar Giorgio Armani dan Levi's, tetapi tanpa membayangkan, saya tidak berpeluang merasa nikmat itu. Saya yakin semua manusia ada dunia yang wujud dalam fikirannya saja, namun nil di luar.

Tuhan mengajar saya, semua ini tidak mustahil. Pertama dengan kun faya kun-Nya, kedua dengan janji syurganya. Ingat tidak ibu kita selalu menceritakan, bahawa kalau di syurga, semua permintaan akan dipenuhi? Ya, inilah yang selalu memujuk saya agar tidak merajuk dengan Tuhan. Mungkin kerana saya terlalu kerap mendongak melihat yang lebih kaya, sehingga saya lupa menundukkan pandangan melihat kepada yang kurang bernasib baik di bawah.

"Sekiranya dihitung nikmatNya, sudah tentulah, tidak lain, kamu akan mendapati dirimu kepenatan", Tuhan menegur lagi, dalam kalamnya. Tujuh lautan tambah tujuh lagipun dakwat tidak akan cukup untuk menulis ayat-ayat (nikmat dariNya). Dan fahamilah, dakwat itu sendiri nikmatNya jua.

Dan kita di sini, mengeluh akan kehidupan yang Tuhan campakkan diri kita di dalamnya.

Comments

Popular Posts