Politik Sihat

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Kalau hendak ditakrifkan maksud politik itu, dengan memetik kata-kata tokoh-tokoh politik di seluruh dunia, sepanjang zaman, sampai ke bila pun tidak habis dicoretkan di sini. Harold Laswell menyebut ia sebagai "Siapa dapat apa, di mana dan bila" manakala yang lain menyebutkan ia sebagai "Jalan untuk manusia menentukan ideologi apa dan siapa yang memerintah". Hakikatnya, kejituan maksud politik tergantung kepada pemikiran si pentakrif; kalau Muslim, maka yang takrifan Islami sahajalah yang betul. Saya tinggalkan persoalan ini kepada pembaca.

Politik yang sihat harus dibezakan dari politik ideal. Politik sihat/matang adalah yang punya persaingan, yang sentiasa memberikan kebaikan kepada baik politikus mahupun masyarakat yang hidup di bawah lembayung politik terbabit, dan bersih dari segala macam kronisme, rasyuah, nepotisme, favoritisme dan macam-macam lagi kerosakan moral. Politik ideal pula masih misterius keadaannya; sama ada ia sukar, masih belum atau mustahil dicapai. Hmm. Sekurang-kurangnya Plato pernah ada cita-cita akan sebuah masharakat berpolitik ideal, dalam Tinnaeus dan Critias:- ya, Atlantis.

Politik sebenarnya bukti kelemahan manusia. Manusia yang berkumpul perlukan politik untuk mengatur hierarki, peranan yang perlu dimainkan dan sambungan antara satu insan dengan insan lain. Politik dengan itu suatu aturan masyarakat, tidak kiralah dengan ideologi apa mereka diatur/mengatur. Adalah salah untuk mengatakan politik sekadar syariat (jalan) untuk mengekalkan keberterusan periuk nasi manusia. Ini kefahaman awal pro-materialis. Politik itu susunan tamadun dalam mengekalkan keamanan dan kesejahteraan segala aspek manusia.

Politik sebenarnya bukanlah untuk mengawal pergerakan manusia, mentang-mentanglah ia mengatur norma dan membataskan tindakan, tetapi bertujuan untuk memelihara nilai universal yang dikongsi bersama, atau membela yang lemah dari kuku yang kuat, atau menjaga keberkekalan kontrak sosial yang dipersetujui sejak zaman-berzaman, apatah lagi dengan kontrak tersebut diiringi ayat: "tidak boleh diubah". Contohnya Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang cuba diubah Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan inilah yang saya tentang berkenaan partai ini. Bukan kerana mereka memperjuangkan bangsa mereka, kerana mungkin ini boleh dianggap sebagai kesemulajadian dalam berpolitik.

Politik juga sebenarnya memelihara sesebuah negara dari ancaman luar, seperti contoh: bagaimana berlakunya pertentangan Blok Kapitalis dan Blok Sosialis sewaktu Perang Dunia II. Ketika itu dunia terbahagi kepada dua, dan bagaimana pengakuan sebuah negara kepada suatu ideologi menyebabkan negara tersebut dipelihara oleh negara yang berideologi serupa. Misal: Itali dibantu German, dilawan Amerika dan British. Alaa, yang Paksi-Paki segala, yang kita belajar sewaktu di Tingkatan 5 tu!

Politik yang ideal bagi saya adalah monarkisme. Beraja. Kalau selak sejarah, empayar-empayar besar dan mulia semuanya beraja. Demokrasi, komunisme, sekularisme, sosialisme; semuanya fana dan boleh hancur. Monarkisme lebih indah kalau berteraskan merit; hanya raja yang berhati mulia, beragama kuat, pintar dan boleh memimpin negara--atas persetujuan badan-badan ulama, badan-badan beraja (Raja-Raja Melayu) dan badan-badan wakil rakyat sahaja yang boleh memegang tampuk. Yang zalim disanggah dan disisihkan. Ini politik baik punya.

Comments

Popular Posts