Tersalah Pilih Beban

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Entahlah, sejak saya berada di Melaka, saya banyak memikirkan berkenaan hidup dan kaitannya dengan kematian. Mungkin kerana mengingat riwayat Melaka itu sendiri yang dahulu 'hidup' sebagai tamaddun yang agung lalu rebah digempa kapal-kapal layar dari Barat, saya mulai menyenaraikan 'kapal-kapal layar' yang datang ingin merebahkan saya. Jiwa saya. Kubu jiwa saya.

Cerita sedikit pasal SBE

"Kamu, mana name tag?"

Menggeleng kepala.

"Kamu ni, kalau murid mahu panggil kamu, panggil 'eh, eh'... first impression ni..."

Suaranya kecewa bercampur marah bercampur sedih, seolah-olah air batu campur yang boleh didapati di Komfa, gerai menghadap pusat beli-belah 'Parkwell' di Tawau. Saya dapat rasa beliau menyuapkan 'air batu' itu ke mulut saya. Saya rasa marah, kecewa dan sedih terhadap diri-sendiri. Aduh, impresi pertama sudah buruk; mesti hari-hari berikutnya dipandang rendah!

Melalui kerlingan pantas ke papan maklumat yang digantung pada dinding bilik pentadbir, dan menerusi cerita kawan-kawan se-SBE dan guru-guru, terdapat 1364 orang murid yang belajar di sini. Ada lebih kurang enam kelas bagi setiap darjah, memberikan kita 40 orang murid setiap kelas. Saya bisik pada Zulfadhli, "Kita ini, macam tentera Islam melawan orang-orang Quraisy sewaktu Perang Badar".

Lepas menenangkan sedikit diri, kami mengambil tempat di kerusi menghadap murid. Perhimpunan. Dilihat oleh ribuan mata, termasuk guru-guru lama, saya memang gugup. Mengalami sedikit rasa janggal kerana tidak dapat turut serta menyanyikan beberapa lagu patriotik (hey, saya orang Sabah terhumban ke Melaka). Selepas itu, diperkenalkan dan berdiri. Siap lambai kepada murid lagi.

Tiba-tiba, datang seorang cikgu lelaki separuh abad, menyerahkan kertas-kertas soalan kepada kawan-kawan saya. Kasihan mereka, awal-awal dapat kelas relief. Saya duduk bersenang-lenang, tiada dapat apa-apa kelas. Namun akhirnya saya terpaksa mengekori Zulfadhli ke kelas yang dia disuruh isi; ada perjanjian bahawa jika saya temankan dia ke kelas reliefnya, dia akan temankan saya, bila saya diberi nanti.

Dalam pada itu, sedikit demi sedikit keraguan saya terhadap profesion ini jernih. Saya memang tidak siap untuk menggalas beban mendidik manusia (eh, dari terus berteka-teki, resolusi ini lebih baik). Maaf, saya tidak dilahirkan untuk profesion ini. Kenapa? Kerana saya sudah mulai melihat diri saya terkial-kial mengawal pelajar yang berlari-lari ke sini-sana, untuk 35 tahun lagi dari hidup saya.

Ini bukan dari mata pesimis, tidak. Ini dari mata manusia yang selalu optimis pada takdir Tuhan dan segala yang berkaitan denganNya. Dari mata yang sentiasa terbuka untuk menerima apapun realiti yang dunia hidangkan. Separuh hari saya bisik, "Yassin, what have you done to yourself! Kau sepatutnya sedang duduk menaip cerpen (sastera), atau sibuk menukul batu-batuan di Gua Tengkorak, Sabah (geologi)".

Sekarang, ini betul-betul, saya perlu merancang jalan keluar dari bebanan yang tidak sepatutnya saya pikul. Saya memang ada intuisi kuat yang saya tidak akan berjaya habiskan perjuangan ini. Mungkin akan hubungi keluarga, berbincang bagaimana. Kalau saya gagal, maka saya akan mohon jadi pembantu geologi atau sesuatu seperti itu, kalau Tuhan redha.

Biarlah gajinya tidak setinggi mana, saya memang tiada keinginan langsung kejar harta. Saya hanya mahu hidup bahagia, mati bahagia (serius sangat terkesan sekarang. Allah, betapa jauhnya saya dari apa yang saya inginkan). Asalkan halal dan mencukupi. Dan membawa ke syurga. Mudahan dengan itu, saya jumpa my missing part.

P/S: Hmm. Hati, berhentilah menangis. Maafkan saya atas kesilapan saya :'(

Comments

Popular Posts