Roti Naan Keju Nan Sekeping

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Karya

Karya saya semakin berkembang dan panjang. Ah, bukan ketebalan buku itu yang saya (harap saya) kejar, tetapi idea-idea yang saya selitkan di dalamnya. Ianya karya biasa-biasa, hasil culas perkataan dan plagiarisme idea-idea orang terdahulu. Saya sekadar mengolah pemikiran lama untuk disedari semula oleh orang kita; tentang hakikat hidup dan bagaimana Islam boleh meng-unggulkan seseorang. Model relatifnya, saya.

Bukan hendak mencalonkan diri sebagai remaja contoh. Serius. Di samping galakan kawan-kawan dan keluarga, saya berkarya kerana saya suka memandang skrin papar komputer riba ini. Suka memetik butang-butang aksaranya seperti seorang filantropis sedih mengalunkan 'Moonlight Sonata' dengan piano. Rasanya sangat dalam. Hei, sudah mencapai sepuluh muka surat!

Roti Naan Keju

Mata melilau mencari juadah yang terbagus. Mengerling longgokan ayam panggang berwarna perang kemerahan yang siap dipotong kecil-kecil. Menelan air liur melihat pelbagai lauk-pauk lainnya yang kelihatan kurang enak apabila diletak dalam talam-talam kecil, sebaris dengan ayam madu tadi. Atiqa Amer yang berdiri di depan turut berperangai serupa, dan saya rasa semua orang yang singgah di sini juga bersikap demikian.

Tiba giliran saya, nasi briyani yang ingin dipesan pula kehabisan. Kosong bekas nasi, cuma aromanya kekal pada udara. Rupanya Atiqa pelanggan terakhir yang memesan nasi briyani, yang dapat. Maka saya keluar dari baris, bergerak ke sebuah gerai kecil di perkarangan bistro yang sama. Hetty berdiri di situ, selepas bercakap-cakap dengan seorang lelaki yang berdiri di belakang kubikel kaca gerai. Mungkin memesan sesuatu.

"Cubalah roti naan cheese, sedap..."

Saya ragu-ragu. Dibelanja oleh Encik Azerai, saya perlu buat keputusan; cepat dan tepat. Saya mahukan sesuatu yang mengenyangkan. Sekali sahaja menjeling saiz roti naan sebesar dua telapak tangan, saya geli hati. Memang tidak cukup, maka tidak mahu. Saya berjalan semula ke meja lauk-pauk. Ayam madu nampak sedap, pula. Saya lihat semula Hetty, kemudian abang roti naan yang sedang gigih mencarik dan menguli roti. Keluar sekali lagi dari baris dan memesan roti naan dengan rasa separuh takut. Takut tidak cukup. Hetty tersenyum menang.

Sebenarnya ia lebih dari sekadar suatu episod sukar memilih menu. Kalau kamu lelaki dengan ego sebesar Gunung Ledang seperti saya, tunduk kepada saranan wanita bermaksud kamu kependekan alternatif! "Bagaimana kamu ini Yassin, ingin memimpin keluargamu, kalau kependekan alternatif?". Beginilah bisikan susulan datang bertandang. Ianya sangat memerahkan muka (kalau kamu, sayalah).

Sambil-sambil menyedut putus-putus Neslo panas yang terpesan dalam suasana senja paling tenang, saya menelinga perbualan tujuh orang di sekeliling saya. Encik Azerai merajai perbualan, Farahida seperti dayang yang menambah isi percakapn raja; Kak Wan sentiasa dengan senyumnya; Rio diam, mungkin masih kekok tanpa kawan rapat di sisi; Hetty bersidang sendiri dalam diri (mungkin bersituasi sama seperti saya) dan Zudien yang berpuasa, cuma boleh terkebil-kebil. Saya meminta diri untuk ke tandas.

Balik saja dari tandas, kelihatan sebuah talam besi kecil di atas meja. Saya yakin saya punya. Lalu meletakkan diri dalam posisi duduk di kiri Dien atau di kanan Rio, dan mula bersantap. Saya koyak sedikit--masih panas; ouch!--dan rendam pada kuah berwarna hijau yang saya hipotesiskan sebagai kuah wasabi dan suakan masuk ke mulut. Saat teksturnya bersentuhan dengan lidah, ia seperti pasangan suami-isteri bersentuhan pada malam pertama. Di luar batas kebolehan saya untuk menjelaskan dengan terperinci, keindahan rasanya.

Ia mengambil masa beberapa hari hikmah di sebalik kejadian itu. Kalaulah saya menangkan ego ketika itu, berketetapan dengan ayam madu yang dipotong kecil-kecil itu, sudah tentu lidah ini sampai sekarang tidak pernah merasa nikmat roti naan berisi keju cair. Sudah tentu lidah ini akan selalu kempunan, umpama emak si Melur kempunankan telur ikan tembakul. Nasib lidah ini tidak dilatih menyumpah diri-sendiri untuk ditelan Batu Belah Batu Bertangkup.

Kesimpulan

Jangan biarkan ego menguasai diri selalu, tambah-tambah lagi apabila mahu mencuba benda baharu (melainkan kau punya ilmu yang secukupnya untuk menolak). Takut-takut, ketika orang lain timbul-tenggelam dalam kelazatan rasa benda baharu itu, kau berpeluk tubuh sambil pura-pura rasa tidak mahu. Saya tahu keadaan itu. Hentikannya.

Ya, ada ketika egoisme itu perlu untuk menegakkan hak dan/atau kebenaran pendirian. Tetapi biarlah ia disokong oleh ilmu, kemampuan dan keperluan. Kalau ego setakat tidak mahu kalah, tanpa sebab apa-apa, ia hanya merugikan kau. Hahaha. Dan, saya juga baru sedar selepas insiden ini, wanita punya citarasa kuisin yang indah!

Hetty, terima kasih kerana kalahkan ego saya. Lain kali, saya pula akan menang. Aizat Akram, kalau kau baca entri ini sampai sini, maka sila ajak saya makan ke bistro dekat Mydin ini. Saya janji saya belanja. Hahaha. Back to assignments~

Wassalaam...

Comments

hetty said…
"Seperti pasangan suami isteri bersentuhan di malam pertama"

HAHAHAHAHAHH ketawa macam org gila bila baca part ni. Memang dah takde perumpamaan lain lah kan? Sengal.


Naan cheese memang sedap. Bila org belanja lagi mantap. ;-)


Popular Posts