Epal & Penjualnya

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Tengah asyik melayan karenah rakan Facebook yang pelbagai, komputer riba tiba-tiba berbunyi. Ada mesej peribadi (PM) masuk. Sebenarnya saya yang memulakan chat, tapi itupun kerana si pemilik nama yang meminta dibuat demikian. Meminta pendapat pasal 'minat terhadap seseorang'. Hai, macam-macam budak zaman sekarang ini. Haa.

"Apa perasaan diminati?"

Hahaha. Menanyakan soalan ini kepada saya seolah-olah menanyakan apakah rasa epal kepada seorang penjual epal. Eh, sebentar; bukan! Menanyakan soalan ini kepada saya seperti menanyakan  perasaan dilambung gelora kepada musafir padang pasir. Atau menanyakan rasanya bernafas dalam air kepada zirafah. Atau paling tidak, menanyakan rasanya pisang kepada si tidak berlidah.


Bukannya kerana saya tidak ada peminat (baiklah Yassin, kamu patut tidak mengatakan itu), tetapi kerana saya tidak dapat memastikan perasaan yang macam mana, diminati itu. Apakah sama rasanya seperti ketika dipuji atas persembahan yang cemerlang di kelas? Apakah seperti ketika dipanggil ke atas pentas atas pencapaian yang hebat-hebat? Nah, saya kebingungan.

Sehari-hari, bahkan mungkin setiap saat, diri kita dilintasi jaluran-jaluran perasaan yang pelbagai, bergantung kepada situasi. Kalau mendapat telefon bimbit pintar Sony Xperia Z contohnya, jaluran gembira dan terharu menggarisi hati kita. Itu namanya kombinasi rasa (yang berlanjutan menjadi tindakan, dalam kes mendapat Xperia Z; berterima kasih).

Mungkin yang paling banyak boleh saya perkatakan adalah ini: mana ada perasaan seumpama itu. Kalau kau rasa diminati ketika kau memakai pakaian paling lawa dari almari kau, maka ketahuilah itu mainan perasaan saja. Ke-perasan-an. Berhati-hati dengan perasaan ini, kerana ia boleh membawa angau.

"Bolehkah kita tahu bahawa kita diminati?"


Barangkali boleh. Namun sekali lagi, perlu diperhatikan garis halus yang membezakan kebenaran diminati dan delusi perasaan semata-mata. Lihat orang yang (kau rasa/perasan) meminati kau lama-lama; dia mungkin akan tidak mampu menahan lama-lama tentangan mata. Kalau kau di depannya, dia akan jadi orang paling bertamadun, paling bersopan dan paling bertatasusila di dunia. Pijak Amoeba sp. atau Paramecium sp. pun tidak mati.

Cara lain adalah dengan memerhatikan perbezaan cara dia layan kau dan kawan-kawan lain yang sejantina dengan kau. Lainlah kalau dia jenis kaki lelaki/perempuan (minat semuanya), memang cara ini kurang berkesan (bercakap seperti kaki perempuan profesional). Kalau sikap dia lebih lembut dan—ah, lainlah dari segala segi—maka ‘berhati-hatilah’. Risiko diculik, diikat dan dimasukkan ke dalam van wujud.

Buat wanita, link ini mungkin boleh membantu. Tidak seratus-peratus benar, kerana penulisnya orang Barat yang makan guna sudu garpu segala. Sekadar dibuat rujukan tambahan.

Kesimpulan

Bagaimana saya tahu semua ini? Weh, tiada pengalaman apapun. Saya jenis yang bercakap berdasarkan imaginasi dan logik semata-mata. Apa yang saya fikir mungkin terjadi kalau saya letakkan masalah pada realiti. Kalau benar, ianya rahmat. Kalau salah, ampunkanlah.

Buat masa sekarang, saya sendiri menolak tepi ‘bisikan-bisikan’ yang cuba memperdaya. Memandangkan saya belum punya pengetahuan sahih, maka lebih afdhal didiamkan saja rasa. Tuhan itu Maha Adil, kawan. Kalau Dia tentukan si ini milik si itu, jangan mahu terlalu memikirkannya. Bertenang, sudah!

Comments

ok..aku doakan kau semakin sedar sebenarnya ramai orang di sekeliling cuba approach kau..yg penting..jgn cair..hahahahaha..:P

Popular Posts