Sesaran

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Saya tidak punya masalah kalau kau mahu mulakan dari awal. Ya, saya perasan segala apa yang kita kecap bersama-sama terasa sangat sunyi. Banyak perkara baik telah kita lepaskan, dan banyak lagi akan, jika kita tidak cuba untuk mengubah situasi ini. Apakah kita sanggup hidup dalam penyesalan bila hari "dekat sama kubur" menjejak?

Ada sesuatu yang kita ingin saling kongsi, namun bila ketemu, hanya kesenyapan jadi jambatan dua jiwa. Tenggorokan menahan suara dan rasa. Dan akhirnya, berlalu tanpa melafaz apa-apa. Sekadar angin-angin rasa rindu yang meniup perlahan telinga. Paling tidak pun, mencucuk perut dengan hujung jari. Hai, kenapalah kompleks sangat mekanisme jiwa ini!

Tapi, ke-diam-an ini mengajar saya bahawa kasih-sayang itu, merdeka dari keperluan kata-kata. Di sebalik sinar mata yang kita saling bertukar, ada suatu rasa cinta sahabat yang sangat terang. Sehingga awal hari yang gelap dengan tekanan kerja, cerah sampai ke petang dengan rasa itu. Saya--meskipun sebagai seorang realis--tidak berani menamakan rasa itu sebagai apa.

Saya tidak tahulah jika ini kenyataan yang kau dan saya kongsi, atau ianya cuma saya menadah hujan di tengah padang pasir. Tapi saya ini kuat intuisi, saya dapat rasakan gravitas cinta pada setiap gerak badan, setiap riak muka, setiap kesunyian yang kita terlalu ego untuk nafi dan hapuskan. Saya suka keadaan ini!

Atau, patutkah kita 'bunuh' semua perasaan ini, bersihkan hingga kosong dan mula mengisi semula cangkir persaudaraan? Bermula dari asal?

P/S: Sami Yusuf kata (lebih kuranglah, ini frasa semula): "Tanpa perlu memberitahu, kau tahu aku perlukanmu".

Comments

Popular Posts