Sampai ke Melaka

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Melaka


Melaka sudah banyak berubah. Perubahan ini saya postulasikan melalui Melaka yang saya baca dari kitab-kitab dan buku sejarah. Begitupun fungsinya masih sama; entreport, pelabuhan dan persinggahan orang dari atas angin dan bawah angin, menurut W.G. Shellabear. Kagum melihat begitu banyak manusia untuk satu unit pasar. Dari Kaukasian, Pakistan, Iran, Finland, Rusia, Korea Utara dan Selatan, sehinggalah penduduk Malaysia sendiri, pemandangan di Jonker Street atau di celah-celah runtuhan kota A Famosa benar-benar menggambarkan apa Melaka ini. 

Namun di sebalik keindahan monument sejarahnya, di sebalik legenda-legendanya yang mewarna tawarikh negara dan menjadi inspirasi ramai artisan, Melaka tidak mempunyai sesuatu yang sehingga kini, saya masih mencari. Diri saya. Jika tidak, sudah tentu saya sedang meraikannya sampai lewat malam. Di Melaka, saya cari merata-rata. Gagal? Ah, asal jangan berputus asa. 

Maksud mencari diri 




George Bernard Shaw menyebut, “Kehidupan di dunia bukanlah untuk mencari siapa kamu, tetapi mencipta siapa dirimu”. Sudah tentulah beliau benar, namun hanya pada capaian yang terhad. Bagaimana bisa beliau terangkan rasa rindu yang tiba-tiba bertandang menendang pintu hari-hari saya? Bagaimana pula beliau mahu menjelaskan perasaan ‘kurang sempurna’ yang hadir selagi seorang manusia masih hidup?

Maksud mencari diri adalah kembali kepada fitrah; kembali kepada asalan jiwa kita. Jiwa ini, ruh ini dahulunya, sebelum keluar ke dunia dan tercemar, adalah ruh dan jiwa yang sangat bersih. Tahunya hanya keEsaan Allah SWT dan keAgunganNya. Pendidikan dunia yang salah dan tidak terbimbing sudah pasti akan menyebabkan kesesatan. 

Apabila seseorang temukan dirinya, dia akan mula-mula berasa tenang. Kemudian dia tutup mata, menyebut-nyebut namaNya, menangis dan mulai dari hari itu, dia akan hidup seorang seorang yang meninggalkan (keseronokan) dunia yang tidak kekal, kerana percaya, sebagaimana ketika dia berada dalam alam ruh tadi, bahawa mengEsakan Tuhan itu sudah memadai. Dan rasa itu, saya tiada temukan di Melaka. Baiklah, negeri lain pula!

Comments

Popular Posts