Buah Nangka

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH
Nangka. Atau nome saintifiknya, Artocarpus heterophyllus. Buat jemput-jemput petang-petang macam begini, beserta teh panas, memang...
Bila saya betul-betul kepingin buah nangka, saya tidak boleh harap buah nangka tersebut jatuh gedebak depan mata, tanpa apa-apa usaha. Sedangkan Siti Mariam a.s pun disuruh Allah SWT untuk menggegar pohon kurma untuk mengisi badan yang baharu melahirkan manusia agung Nabi Isa a.s, inikan pula kita, manusia yang kalau diletak bersebelahan Siti Mariam a.s, macam langit dan bumi.

Saya mungkin boleh panjat. Saya mungkin boleh pinjam galah jiran, cuba jolok. Atau mungkin, saya tebang sekali pokok nangka itu (tapi ini janganlah, kesian). Namun ingat, apapun caranya, pasti wujud risiko. Kalau kau panjat, mungkin kau jatuh tersembam muka dahulu ke tanah. Kalau kau jolok, mungkin tertimpa, atau terjolok sarang tebuan. Kalau kau tebang, mahu tak dihempap pohon nangka.

Tindakan kita dalam mengejar keinginan selalu terhenti sebab dimomoki risiko. Apabila ketakutan kepada risiko ini lebih besar, maka semuanya pasti akan kita berhentikan; berfikir bahawa tiada yang akan berhasil melainkan diri akan mendapat luka dan parut-parut. Cubalah bayangkan natijah kalau kamu berjaya melepasi semua risiko tersebut.

Kalau hendak seorang perempuan, 'panjat' tangga-tangga ketakutan: pergi melamar. Atau 'gegarkan' mak ayahnya dengan ketulusan dan keikhlasan untuk kamu menyambung penjagaan si anak. Atau 'jolok' hatinya, sehingga dia 'jatuh' kepada kamu dan menyuruhmu meminangnya. Atau pergi belakang rumahnya, tebang lalang memanjang di sana. Hahaha. Boleh, what?

Kalau hendak bercita-cita, 'panjat' tangga ke sana dengan usaha. 'Gegarkan' birai keinginan dengan ketekunan kamu, biar 'jatuh' cita-cita ke riba. 'Tebang' rasa malu mencuba perkara-perkara kecil yang boleh memajukan kamu. Jadi sesuatu yang 'lebih dalam' dari apa yang kamu mahu jadi. Serius yang ini berkesan.

Dude, biarlah jatuh berdebuk ke tanah bersama-sama nangka, saya apa kisah. Kalau sudah dapat menikmati ulas demi ulasnya, sakit itu lama-lama akan reda. Kalau jatuh tanpa nangka pun, itu mengajar saya yang cara itu tidak berkesan. Cari metode lain. Atau senang, cari buah lain untuk dipanjat. Ingat: pastikan ia berbaloilah.

Dan kepada sesiapa yang merasa dirinya 'nangka', kalau kamu nampak si 'penjolok' berusaha keras untuk mendapatkanmu, mulailah melonggarkan pautan tangkai. Memang betul perlu jual mahal, tapi kalau harga kamu janji sebuah perhubungan yang sempurna, maka membusuklah kamu sendiri di atas sana. Boleh? ;)

Comments

hetty said…
Pertama kali saya dengar jemput-jemput nangka. Kalau cempedak selalu lah jugak.

Sven Medyona said…
Hahaha. Saya pun baru perasan. Hahaha.

Popular Posts