Pencapaian

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Dua hari lepas, satu lagi sambutan yang dibenci dan didoakan agar hujan lebat menimpa agar ia dibatalkan oleh orang-orang seperti saya, berlangsung. Saya boleh katakan ia berlaku dengan lancar sekali, kudos kepada senior-senior 5 PISMP yang menganjurkan keseluruhan program. Kalau saya guru penilai prestasi, saya akan bagi markah 90/100. Telaga telah terbuat, kamu lelaki-lelaki (sila transliterasi ke Bahasa Inggeris untuk faham)!

Pemerhatian mencambah kesedaran

Ardie baru sahaja berlepas dari titik permulaan larian. Entah apa yang dikejarnya, atau mungkin melarikan diri daripada, berlari sedemikian pantas. Melihat pesaing lain yang sedikit perlahan gerak langkah mereka, saya yakin Ardie akan dikalungkan satu lagi medal. Dan ya, tebakan saya betul. Tersengih-sengih dia sambil menunjukkan isyarat tangan 'L' berdiri di atas podium sambil mengurut medal.

Secara total, dia berjaya mengumpul tiga medal emas, satu medal perak dan satu medal gangsa. Dia letakkan di dalam loker (ya; 'letak', bukan 'gantung'). Kadang-kala saya kerling medal emas yang dikumpulkan sejak tahun 2011 hingga sekarang, lalu kerling bahagian sama dalam loker saya yang kosong, saya sedih. Namun kesedihan paling memukul adalah apabila mengenangkan kedudukan rumah sukan kami mungkin berbeza jika saya buat betul-betul dan mengambil bahagian.

Semasa menunggu semua acara habis, saya luang masa--selain melihat orang beracara--bersidai di bawah khemah yang tersedia di tempat paling atas di astaka. Memerhati manusia (kebiasaan), memantau sekeliling dengan mata si tuan tanah menjaga tanahnya dan cuba memerah iktibar. Kemudian saya lihat ahli rumah sukan saya yang lain yang mengambil acara; ada yang berpeluh lebat, lenjun baju dek keringat, ada yang biasa-biasa dan ada yang tersenyum dalam letih (menang, mungkin). Rasa bersalah sangat-sangat. Sampai sekarang.

Tapi apa boleh buat, bidang ini bukan bidang saya. Bukan sahaja tidak minat, tidak punya keupayaan, bahkan saya turut tidak berapa menyukainya. Kalau ada acara mendeklamasi sajakkah, acara berpantun-pantunkah, saya boleh lagi. Ini sukan. Memang orang putih kata, so out of my league. Dalam rasa puas tidak menyertai apa-apa, ada rasa sakit yang menunggu waktu ledak kesedaran. Sekarang efeknya baru bertandang.

Pencapaian

Melihat pengumuman nama si anu mendapat tempat begini dalam acara itu, saya berfikir; apakah maksud pengiktirafan ini? Kalaulah tiada hadiah, sekadar berlari dan melompat dan melontar dan berbaris begitu-begitu saja, apakah atlit-atlit ini akan menunjukkan prestasi serupa? Suatu kaji selidik perlu dilakukan secara mendalam berkenaan hal ini.

Jika benar, rupanya kehidupan masyarakat hanya berputaran dalam keinginan disedari dan mendapat habuan. Tiada istilah ikhlas dalam bersukan, kalau begitu. Tapi, sejahat-jahat saya terhadap kesukanan, tidaklah pula sanggup saya memfitnah bidang ini dengan pertuduhan sejahat itu. Dengan hati pura-pura bersih, saya memikirkan jawapan lain.

Saya dapat 'amanah' sebagai resolusi yang 'lebih baik' berbanding sebelum ini. Amanah yang terpecah kepada dua; a) kerana sedar diri ada kebolehan untuk mengangkat nama rumah sukan masing-masing dan b) kerana sedar, memainkan peranan adalah sebahagian daripada prinsip berorganisasi. Tapi, betulkah atlit-atlit ini mempunyai sentimen begini?

Saya pernah debatkan hal ini dengan beberapa orang kawan di sekolah lama dahulu. Ketika itu, kami mengulas berkenaan isu menutup aurat dalam kalangan peserta Muslimah pada peringkat antarabangsa. Saya tanya, apa keperluan sampai ke peringkat antarabangsa dan memenanginya? Kata mereka, untuk membuktikan umat Islam juga mampu. Saya bidas: siapa hakim kita sebenarnya? Manusia atau Tuhan? Orang Barat atau Yang Menciptakan diri ini?

Ada pula mengetengahkan perihal kepentingan bersukan itu sendiri dalam melahirkan generasi yang sihat. Hei, kalau sihat-sihat pun berbuka aurat dan bercampur jantina dalam suatu stadium, langkah syaitan juga. Buat sajalah aktiviti fizikal di rumah, tanpa perlu pengiktirafan dari mana-mana pihak. Cukup sehingga kau boleh beribadah dengan baik dan khusyu', sudah kira bagus. Jadi, siapa ada idea untuk menjawab persoalan ini?

Sifat-sifat Islam

Kemudian saya terjumpa ini dalam laman sesawang 'Facebook':
Ya, inilah jawapan dia. Mungkin dalam jiwa-jiwa semua atlit yang beraksi di atas padang hari itu, yang beragama Islam ada tujuan berdakwah. Bayangkan jika semua Muslim sekadar duduk memanaskan tempat duduk, sedangkan manusia beragama lain berusaha keras meraih kemenangan, pasti kita ketinggalan. Dan lebih teruk lagi, persepsi mengenai Islam akan tercemar. Jika tidak, akan kedengaranlah:
"Tengoklah apa ajaran Muhammad telah lakukan pada manusia!"
"Islam memang menyekat manusia menjadi manusia"
"Apalah yang ada dalam Islam yang boleh menyumbang kepada kemajuan negara..."
Maka para atlit, sementelahan saya di sini dengan butang-butang komputer riba saya berdakwah, kamu ada lorong balapan dakwah kamu. Teruskan berlari, dan tunjukkan betapa hebatnya suntikan Islam dalam memajukan manusia. Sebelum bersukan, ingat Allah. Lakukan semuanya untuk Allah, demi Islam dan demi umat Islam. Pelihara batas-batas Islam, tinggalkan cara jahiliyah dan kafir. Jagailah adab (menutup aurat, mengelakkan persentuhan lain jantina, dsb.). Semoga kita semua berjaya dalam bidang masing-masing.

Dan maaf atas kritikan pada bahagian mempersoal tujuan pencapaian dalam sukan. Ciao. Belum Asar, sudah lambat. Wassalaam.

Comments

Popular Posts