Ke-kreatif-an

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Tiada perkataan sedemikian, seperti tajuk, wujud dalam korpus Bahasa Melayu. Untuk menilai darjah betapa kreatifnya seseorang, kita ada istilah 'kreativiti'. Istilah ini boleh digunakan untuk pelbagai bidang; sains (mungkin dalam sains, ia lebih dikenal sebagai 'inovasi'), matematik, musika, kutleri dan ya: seni dan kesusasteraan. Kreatif maksudnya berkebolehan mengolah bahan-bahan mentah menjadi karya.

Lukisan termahal di dunia, oleh Paul Cezanne, bernilai 267 juta dollar. Atau RM961,200,000.00.

Fakta: orang dulu-dulu lebih kreatif berbanding orang zaman ini

Gauguin dan Degas sangat, sangat mahu kembali ke zaman Renaissance kerana kehebatan Michaelangelo, Leonardo da Vinci dan tokoh-tokoh Era Kebangkitan lain dalam penghasilan seni. Sedangkan kalau boleh, Pablo Picasso (ya, Picasso yang itu) dan Adriana--dua-dua pengagum Lautrec, Gauguin dan Degas--ingin kembali ke zaman mereka, kerana mengagumi stail Impresionisme yang Lautrec miliki.

Babak dalam wayang 'Midnight in Paris' menyedarkan saya bahawa generasi anak Adam a.s semakin surut kreativitinya dalam meng-gambar-kan (menjadikan sesuatu gambar) suasana, keadaan, momento dan subjek. Walaupun dengan media yang bercabang-cabang, kita sudah seolah-olah kehabisan cat akrilik pada pelet untuk mewarnai generasi ini dengan lukisan-lukisan terindah, yang senang dilihat untuk digantung pada dinding-dinding rumah.

Semakin banyak jalan untuk menterjemah sesuatu, menyebabkan nilai penterjemahan semakin rendah. Orang dulu-dulu mempunyai media atau punca yang sangat terhad, maka mereka terdorong untuk menggunakan sebaik mungkin bahan yang mereka miliki. "Sebaik mungkin" pastilah mewujudkan karya yang indah dan ikhlas.

Karya dulu-dulu, kalau didengari, diperhati, dinilai dan disentuh, mampu memberikan kita suatu getaran misterius. Di depan mata kita, kilasan berkenaan keadaan hidup sang pengkarya kelihatan dan berlalu pantas. Dapat kita rasakan bagaimana mereka sedang merasa dan memberi rasa, memberi masa untuk menjadikan hidup mereka tertonton.

Comments

Popular Posts