Refleksi: SBE 3

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH


Tidak diingkari lagi, School-Based Experience (SBE) kali ini adalah yang terbaik dan paling banyak memahat sejarah dan memberikan perasaan-perasaan baharu. Kamu tahulah; perasaan disayangi sebagai guru (atau begitulah yang saya rasa), perasaan ditunggu-tunggu pada muka pintu, perasaan disukai hanya saja kelembutan ultra dalam mendidik (yang perlu saya kurangkan, jika betul-betul serius menerjuni bidang ini) dan pelbagai lagi. Baiklah, benar; sedikit-sebanyak, ia merubah saya.

Namun...


Walau bagaimanapun, di sebalik semua keindahan yang guru besarnya suruh bawa pulang ke maktab sebagai azimat, dan di sebalik kesyukuran terpilih memasuki program ini, yang mungkin terlewat bertandang, saya semakin yakin bahawa saya perlu mempertimbangkan pendirian. Am I in, or am I out? Apakah saya sanggup melakukan sekali lagi percubaan, memberikan diri satu lagi peluang untuk sekurang-kurangnya suka pada profesion ini? Entahlah. Kedengaran sadis saja pertanyaan ini.

Kalau sengaja gagalkan diri, maka itu menjemput kesedihan hati ibu dan kawan-kawan (yalah), tetapi saya mungkin berpeluang mengejar apa yang saya benar-benar inginkan. Tapi kalau meneruskan, maka ianya akan mengundang penyesalan seumur hidup, hingga mati, andai ia menjadi satu bebanan dan bukan sesuatu yang membuatkan saya berasa 'lebih manusia'.

Memandangkan saya humanis Islami, maka menjadi 'lebih manusia' sangat kritikal bagi saya. Saya yang percaya pendidikan dan pembelajaran sebagai suatu jalan penyempurnaan kewujudan, melangkau kepentingan mendapat tempat duduk selesa di muka bumi, tidak boleh bertoleransi untuk mengorbankan cita-cita itu demi sahaja saya ingin menyenangkan hati orang lain. Lain orang, lain jalan.

Secara moralnya, memanglah tidak boleh kita pertikaikan bahawa orang sekeliling melihat apa yang kita pakaikan pada jiwa cocok dengan pemakainya. Tetapi kalau sebagai pemakai kita berasa tersiksa untuk lebih usia, apakah maksud pakaian sebagai sesuatu yang menyelesakan? Lebih kurang begitulah penghujahan saya. Jujur saya kata; saya semakin 'kurang cikgu'.


Begitulah refleksi saya untuk SBE kali ini. Sekian.

Comments

Popular Posts