Perkasa Dalam Bahasa

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH
Entahlah, adakah sekadar ilusi saya atau memang orang selalu gelakkan bahasa saya yang hiper-baku. Dulu, pernah; saya mempengerusikan suatu kursus, diketawakan. Hanya kerana saya menyebut 'doktor' sebagai 'doktor' dan bukan sebutan stereotipikal-ortodoks, 'dokte'. Saya tidak boleh juga memvonis manusia-manusia "kritis" seperti mereka. Yalah, siapalah saya.

Jangan jadikan cours- maaf- kursus sebagai penghalang berbahasa

Kadang-kadang, ada situasi di mana kita boleh meletakkan kesilapan kita pada keadaan yang memaksa. Namun, tidak semestinya selalu. Macam contoh konflik berbahasa Melayu benar dengan kursus. Pelajar TESL saya lihat, banyak berbahasa indah dan betul, sedang pelajar Bahasa Melayu dan Sains sendiri bercakap dan menulis dengan susun atur kata dan tatabahasa lintang-pukang.

Bagi saya, saya tiada masalah mengasosiasikan subjek Sains dengan penggunaan Bahasa Melayu yang sebetulnya (bukan mahu berkata saya layak mendapat pengiktirafan sebegini, sekadar ingin tunjukkan saya mencuba). Berapa kali saya perasan dalam kelas--saat saya membuat presentasi orang mengekek mengejek atau buat muka stres dan culas di belakang. Mahu turutkan ketidakmatangan, saya terjerumus pula ke darjat serupa. Maka saya diamkan.

Cinta saya pada Bahasa Melayu sangat dalam. Ayah kata, saya bukannya Melayu betul pun, hanya pada IC. Sebetulnya saya adalah Bugis dan memandangkan ibu turut berketurunan Borneo, sepatutnya saya berTagalog dan bukan bercakap Bahasa Melayu. "Malang"nya sejak dari kecil sayang saya pada Bahasa Melayu menjalar dalam merayapi segala persifatan diri saya. 

Mungkin peranan ibu sebagai guru Bahasa Melayu menjadi mangkin saya (salutasi buat ibu) untuk membahasakan diri sebagai 'saya' dan bukan 'aku' seperti mana penduduk Sabah bahagian Timur selalu gunakan. Saya berbangga dengan keadaan itu. Pernah sekali berbual dengan seorng bekas kekasih rakan satu sekolah. Dia nampak saya menggunakan 'saya' dia komen: "Kau ni YaCn, maC x b'ubah". Saya gelak.

Apa sebabnya saya suka Bahasa Melayu baku?
Banyak. Paling utama, barangkali, adalah pengaruh ibu. Selain itu, dua sahabat yang benar-benar merubah cara saya memandang Bahasa Melayu: satu adalah El Ferdowsi dan seorang lagi senior. El Ferdowsi kita simpan sekejap, kita bergerak dahulu kepada cerita senior saya.

Namanya Hazeem. Mohd Hazeem bin Dahuli. Kehebatan berpidato memang menaikkan bulu roma. Mengembangkan hati. Daya bujuk dari tangan yang sentiasa menarikan emosi dan mimik muka yang melakonkan idea yang cuba dia sampaikan memang tidak tertandingkan. Tapi insiden yang membuatkan saya mengangkat tangan pada dahi adalah semasa membaca profilnya dalam buku tahunan sekolah kami.

Dia kata dia benci telefon bimbit. Ia merosakkan Bahasa Melayu dengan penggunaan abreviasi yang tidak logik dan tidak praktikal. Tidak logik adalah seperti 'makan' menjadi 'mkn' atau 'tidak' menjadi 'x'; manakala tidak praktikal adalah 'saya' menjadi 'sAyEw', 'kita' menjadi 'kiTeW' mahupun 'gila' menjadi 'giLeRwW~' (ya, segila anda). Berapa kali saya membaca 'Sy x pg' dengan begini: 'Saya [eks] pagi'. Dua, tiga kali menyahkod, baru dapat maksud. 

Pasal El Ferdowsi pula...dia seorang penulis blog seperti saya, cuma lebih tinggi darjatnya. Meski pemahaman kami berkenan Tuhan, manusia dan dunia jarak bezanya seperti beza darjat antara tiga yang tersebut tadi, jiwa kami berjaya diamankan dengan konsensus penting bahawa bahasa itu harus digunakan sebagai wewenang idea, perantaraan ilmu dengan cara dan adab yang sepatutnya. Itulah fungsi bahasa. Makalah.

Apapun perihalnya, saya tidak pernah berasa tidak senang dengan pandangan serong manusia, apalagi kata-kata nista mereka. Kerana saya percaya jika kamu benar-benar berpegang pada apa yang kamu rasakan perlu, kamu tidak akan mencuba formulasi orang lain. Berpegang teguh pada rumus kefahaman sendiri. Sayonara!

P/S: Entah kenapa pos neh boleh terhasil. Tapi saya memang maksudkan ia. Saya pencinta bahasa :)

Comments

Popular Posts