Pergulungan

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH
Adakah lautan kuning sudah surut? Sepengetahuan saya, ianya akan berlangsung sehari saja. Apapun, tahniah kepada kedua-dua pihak: yang seakan Khawarij/Abdullah bin Saba` dan pihak polis berkuku besi. Sarkasme melampau malam ini, pasti ramai yang mula angkat muka, berlalu pergi dari laman web ini. Dan sila ke sini untuk suatu kupasan mantap :)

Berguraulah

Beberapa jam yang lalu, saya terlibat dalam debat maya berkenaan kebenaran. Terkejut bila orang Putih mengiktiraf kebenaran kerana kita wujud. Mereka kata, kebenaran itu bergantung pada kemahiran perseptual manusia. Makna kata, matahari bukanlah kuning secara faktanya, melainkan jika deria kita yang mengatakan sedemikian. Ada suatu istilah yang menerangkan ini, saya sudah lupa (lama tidak menyegarkan minda dengan bahan bacaan falsafah).
Saya bahaskan, kalaulah semua manusia ini buta, apakah matahari itu tidak wujud? Saya faham; kehangatannya, keterangannya dan sfera rupanya adalah fakta yang berdasarkan persepsi deria manusia. Namun itu tidak memvalidasi bahawa matahari itu wujud. Katalah, warna sebenar matahari adalah X, dan kita cacat untuk menggapai realiti X tadi: itu tidak bermakna X tiada, bukan?

Bila diimplementasikan logik mudah ini, dari sinilah saya mendapat rumus siyasah sendiri. Cara saya mengamankan dua pihak yang bertelagah (dalam diri saya) adalah dengan menggunakan metodologi perseptual. Saya percaya bahawa kita semua percaya diri kita berada pada garisan yang benar dan kebenaran sebenar (X, mengikut konteks analogi) tidak kita capai. Kita cuma PERCAYA dan BERIMAN yang kita telah tiba ke situ.

Oleh kerana pentafsiran  teks-teks dan statistik berbeza, disebabkan oleh persepsi berbeza, maka gejolak perbezaan itu umpama ombak berlawanan arah; tidak boleh dibendung. Yang terbaik kita boleh lakukan adalah mengamankan laut persaingan ini dengan rasa saling menghormati. Namun ini mustahil, pula. Politik tidak semudah itu untuk mengamankannya. Mahu tidak mahu, terpaksa juga kita menghadapi gelombang tadi.

Kelemahan manusia lain adalah kelemahan kita

Bila saya ditanya, apakah punca pertengkaran politik, saya selalu jawab; kerana manusia lemah. Manusia biar diri dikawal harta, rasyuah, ego dan kekuasaan. Manusia korbankan etika demi menjatuhkan pesaing. Manusia warga Malaysia tidak suka pemimpin yang ada kelemahan, memang dibalun sehabis baik. Menggunakan kelemahan diri orang lain juga adalah untuk menjatuhkan, sedang kelemahan diri-sendiri yang berlipat kali ganda, disorok bawah katil.

Kenapa begitu? Kenapa kita sanggup mengiktiraf/meraikan kelemahan orang lain, tetapi menyembunyikan kelemahan diri? Bahkan ada yang mengatakan rencatnya diri mereka suatu ujian dari Tuhan? Hairan, kenapa kezaliman pemimpin dianggap kemungkaran pula? Kenapa kecacatan orang lain dianggap balasan Rabb?

Istilah falsafah hari ini: ad populum

Itulah bahayanya, kadang-kadang, orang yang tahu banyak tentang agama. Mereka mudah putar alam situasi dan hukum-hakam demi kepentingan diri-sendiri (serius, ini bukan platform sesuai untuk membahaskan isu sebegini). Dan bahana orang tidak berilmu pula, mereka main redah saja hukum-hakam, sehingga nilai beragama itu luntur.

Saya memvisikan yang pandai berpada-pada (iqtisad/wasatiyyah) dan yang tidak pandai/tahu untuk belajar. Saya sendiri perlukan banyak masa untuk reformasikan diri-sendiri yang diulati ma`siat dan dosa. Saya sentiasa ingin merubah diri.

Comments

Popular Posts