Nasib

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH
Alhamdulillah, SBE pertama dan kedua berlangsung agak proaktif. Dapat kumpul banyak maklumat, dapat pengalaman. Kebanyakan pengalaman itu, datang dari pembelajaran dalam diri. Sungguh, saya belajar banyak benda, berjaya lakar banyak perkara untuk masa depan. Esok SBE ke-3, maka...

Tidak semua berkongsi cerita sama

Dia pandang saya, mukanya sedih (mungkin dia teringat anak dia, kot). Tukar pandangan, lontarkan ke banjaran perbukitan yang merajai latar Tenom melalui jendela pondok jaganya. Uniform kemas bergosok, beret merah seakan sudah tidak senada dengan usia. Terlalu tua, dia. Terlalu berusia untuk bekerja sebagai jaga.

"Mak cik ada jugak anak buah macam kamu, dia sudah habis, tapi..." Tiba-tiba. Saya yang sedang merekod segala maklumat berhenti menulis, memberi penghormatan dan peluang untuk dia berkongsi cerita. Pen bermain-main antara jemari, telinga fokus mendengar. Seorang lagi jaga sedang berdiri di luar pondok, menjaga pagar. Saya kerling dia, dia beri senyuman.

"Kenapa, mak cik?" Mak cik ambil beberapa ketika untuk mengatur ayat. Mukanya jelas tampak menahan sebak. Tapi saya buat muka poker face, takut nanti kalau empati, dia menangis. Profesionalisme tergugat sebentar. 

"Anak buah mak cik tu..." Dan dia mula bercerita.

Katanya, anak buahnya bekas guru lepas menduduki tingkatan enam atas. Namun untuk menjalani hidup normal, kos hayat tidak selari dengan gaji. Terlalu sedikit. Dia berhenti jadi guru, letak jawatan dan sambung universiti. Bidang diambil, perdagangan sijil ijazah sarjana muda (tidak silap). Jadi bila keluar dengan cemerlang, dia dilema.

Di Sabah, pengambilan kakitangan awam tidak boleh rawak. Contohnya mak cik ini, darjat pelajaran anak buahnya terlalu tinggi, takut mana-mana sektor mahu ambil jadi pekerja. Tidak mampu membayar gaji (kan gaji ikut ketinggian pendidikan). Dia mohon itu dan ini, ke sana dan ke mari mencari rezeki mana tahu tersembunyi di celah-celah bumi.

Mana tahu setelah tersekat, terperuk tanpa kerja, tanpa gaji di dalam rumah. Mana tahu, darjat pendidikan sekarang sudah tidak menjadi prioriti untuk mendapatkan kerja. Peluang... pasaran... jaminan... ini kriteria yang perlu diambil berat sebelum melakukan sesuatu. Begitupun, saya tidaklah berseloroh kepada mak cik jaga yang sedang mengempang rasa hiba tersebut, akan kesilapan anak buahnya. Tup tup, kena tembak pula (tiada kelihatan kelengkapan senjata dalam pondok itu).

Saya mahu usap saja bahunya, urut. Mungkin, siapa tahu itu boleh mengusir rasa terkilan. Yalah, saya tahu rasa itu. Rasa apabila kita percaya betul-betul pada tindakan yang ingin diambil dan tindakan itu membunuh peluang yang kita telah ada. Saya kenal benar kesedihan dari sudut pandang ini. Semu.

"Mak cik, kenapa nda suruh dia hijrah? Cari peluang kerja di bandar-bandar besar; Kota Kinabalukah, Kuala Lumpurkah?" Saya menjadi pencadang. Kerling lagi ke luar, ke arah seorang lagi mak cik yang dari tadi berdiri utuh menjaga pagar. Senyum dalam hangat. Tekadnya kelihatan.

Mak cik yang saya berhadapan masih mendagu. Belakang dicondongkan pada kerusi fibreglass, mata masih menikmati (dalam sakit) indah perbukitan Tenom yang diselimuti selapis bayu. Saya kekok, apabila soalan digantung pada jeda. Kurang enak rasanya diperlakukan begitu.

Mak cik luar pondok geleng. Mak cik dalam pondok pun geleng.

"Dia ndamau. Dia nda berani mau ke sana. Lagipun, bukan minat dia (perdagangan). Susahlah kalau dia terpaksa buat apa yang dia nda minat..."

Saya tunduk. Berkeluh. Entah kenapa, saya terasa dengan itu.

Comments

kau tengah dilema memikirkan tentang cita2 kau ka?

Popular Posts