Bersuaralah [Nota Kepada Kamu, Kawanku]


ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH
Kawan, kalau kamu ada sesuatu untuk dikongsikan; baik sedih mahupun gembira, pahit mahupun manis, sakit mahupun nikmat atau hal peribadi yang kamu rasakan perlu didengari kerana hati tidak betah membendung pedih, ketahuilah yang dua telinga tertancap pada kedua belah kepala saya sedia menala untuk mendengar. Jiwa saya sedia untuk meringankan beban, membantu menggalas kepayahan kamu. Saya sanggup pegang amanah, jika kamu memerlukan seseorang yang dipercayai.

Kawan, jangan berdiam dan menangis sendiri jaa. Air mata kamu, air mata saya jugak. Ingat. Sedih, memang sedih bilamana tengok kamu seakan berada dalam konflik. Tapi saya lagi sedih bila melihat kamu cuba menahan air mata. Seolah tanggunganmu terlalu hebat, sehinggakan kesedihan bukan lagi disimbolikkan dengan air mata.

Kawan, bahu saya sentiasa kering untuk kamu mencurahkan air matamu di atasnya. Pelukan saya sentiasa terdepang luas, sudi memelukmu kalau itu bisa mengusir dingin hidup. Hangat, saya sanggup kongsi bersama, asal hati kamu tidak menderita hipotermia. Tidak beku dan terus membeku tanpa bantuan.

Kawan, suruhlah saya jadi apapun, asal jangan kamu jadikan kuli, apatah lagi penentang agama. Badut? Raja? Penasihat kewangan? Saya janji akan laksanakan semuanya sehabis rela dan sebaiknya. Kamu cuma perlu menyeru sedikit semangatmu untuk membuka mulut, menyuarakan keinginan. Selepas itu, kamu akan mendapati saya sudah berlutut di sisimu, sedia mendengar perintah.

Orang kata, persahabatan adalah apresiasi tatawujud dua insan yang saling memerlukan, saing menghargai. Saya lihat persahabatan sebagai pengorbanan. Biar orang kata dungu dan lurus bendul. Biar orang kata kolot dan terjajah dan diperhamba. Nikmat menjadi kawan lebih dari cukup untuk menyahjustifikasikan segala tohmahan.

Kawan, saya tidak mau kamu terjebak dalam perbuatan yang tidak baik. Saya mahu kakimu, bila kau sudah sampai ke dunia akhirat, melangkah ke dalam syurga. Biarlah saya hanya melihat dari luarnya, melalui tingkapnya, asal kamu bahagia. Saya cuma harap kamu doakan keselamatan saya. Kita saling membantu.

Kawan, kamu hebat. Sangat hebat. Bukan sebab saya sahabat kamu, tetapi sebab kamu sahabat saya. Saya junjung setiap tindak-tandukmu, dengan kadang-kadang teguran saya aturkan kepadamu agar kamu perbetulkan langkah dan arah. 

Saya tidak kisah jika nama ini tidak disebutkan ketika kamu menyampaikan ucapan penghargaan dalam majlis konvokesyen kejayaanmu. Melihat kamu bahagia, saya sudah rasa cukup dihargai Tuhan.

Dan kamu pernah ajarkan, pandangan Tuhan lebih penting. Ingat?

Comments

Popular Posts