Keretapi ke Moskow

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH
Tenang~

Aku hanya berdiri di situ. Sesekali mengerling pada jam tangan 'Omega' perak, sekadar untuk memastikan waktu kedatangan keretapi yang selalunya mengambil penumpang pada sekitar jam 9.00 malam, belum kulewati. Atau mungkin, sekadar mengusir rasa sendirian berdiri di koridor perhentian stesen ini. Dan bunyi gemerincing roda-roda keretapi pun sayup-sayup kedengaran. Sesekali wap dilepaskan, sesekali bumi rasa bergegar menyambut kedatangan keretapi tua.

Sebelum melangkah masuk ke dalam kocnya, aku teliti papan tanda kecil yang terpampang pada badan keretapi tersebut, takut tersilap pilih haluan. Begitupun angin salju Siberia meniup semakin hebat, semakin dingin. Tanpa meneliti lebih lama, aku orak langkah, sambi memeluk tubuh, menggosok bahu sendiri. Alangkah bagusnya punya teman. Boleh sumbangkan haba. Kuambil tempat duduk bermeja di tepi tingkap.

Destinasiku Moskow, kira-kira 531 kilometer dari sini (Novgorod) dan 189 kilometer dari St. Petersburg. Niatku ke sana adalah untuk bertemu Profesor Ingraad Kalavstoshky bagi menyiapkan tesis akhir sosiologiku, berjudul, 'Destruction of USSR: A Natural Speciation?'. Sebetulnya menurut pensyarah, ia merupakan topik yang sangat berat, namun jika berjaya diselesaikan, akan mengangkat martabat namaku. Heh. Yang kupentingkan, cumalah tamatnya pengajianku. Lepas itu, bekerja di Pskov Oblast, pinggir Sungai Velikaya.

Lima jam lebih minda terbang jauh ke masa depan, sebelum kelihatan seorang lelaki tua bertongkat datang mendekati, melabuhkan punggungnya di sebelahku. Semeja. Dia kulihat sudah tua, bermisai tebal putih dan mempunyai kompleksi wajah seakan penat. Lelah mungkin, menghirup pekat udara dingin Rusia. Memakai jaket berlapis, muffler dililitkan pada leher. Dari wajahnya, dia bukan orang Rusia, tetapi kemungkinan besar orang Melayu.

"Anak orang Malaysia, kan?". Tiba-tiba suatu suara menggertakku sedar dari merenung pak cik tadi. Suara pak cik itu, yang kini sedang tersenyum lebar. Sebaris gigi putih kelihatan di bawah misai tebalnya.

"Ya. Saya orang Malaysia," aku menjawap. Dua, tiga orang lelaki Rusia merenung kami berdua, hairan barangkali dengan Bahasa Melayu yang kami tuturkan. "Pak cik?"

Pak cik tadi tidak menjawap terus. Dibuangnya pandangan ke landskap di luar kereta api yang herot, relatif dengan pergerakan pantas keretapi. Kelihatan seolah mati Bumi Rusia yang Habiburrahman El-Shirazi gelarkan Bumi Cinta oleh kelabu warna langit dan putih warna salji. Entah bayangan apa yang pak cik ini lihat pada timbunan itu, sehingga menumpahkan air matanya.

"Pak cik rindukan Malaysia, bumi cinta pak cik. Ini- Rusia ini- bukan bumi cinta"

"Kenapa, pak cik?" aku bertanya. Mahu tahu.

"Dulu, memang ini bumi idaman pak cik. Ada salji. Ada Kremlin. Ada kehidupan yang pak cik sangka indah. Ada reja-reja Soviet Eurasia yang kononnya indah. Wanitanya cantik, makanannya..."

Dia jeda, kesat air mata dengan jemari bergetar. Aku tidak mencelah, menanti sambungan.

"...makanannyvoskhititel`nyi! Tapi semuanya tidak mengenyangkan rasa rindu pak cik, rasa dahaga pak cik pada sinaran Khatulistiwa matahari di bumi Malaysia. Tiada makanannya yang boleh menghilangkan kepingin pak cik pada rendang Melayu, tiada wanitanya semulus wanita Melayu!"

"Pak cik tersalah pilih destinasi, nak. Mulanya menurut darah muda, ingin bebas dari cengkaman tradisionalisme Tanah Melayu. Mahu bebas pilih hala tuju hidup. Pak cik lupakan tanah yang membesarkan badan ini. Pak cik belajar di sini, pak cik tinggal di sini!"

Keretapi menelusuri tangkas pemandangan yang dilitupi salji. Sedikit bergetar koc bilamana gandar dan roda bertembung dengan rencat-rencat kecil landasan, dipukul angin mistral. Di dalamnya, sendu lelaki tua ini berkembang menjadi esakan kecil yang hanya Tuhan dan dia faham puncanya. Mata-mata penumpang lain jelas memerhatikan dialog asing kami. Aku berusaha memujuk lelaki ini dengan menepuk bahunya dengan rasa janggal.

Sepuluh minit sebelum esaknya larut menjadi kediaman yang hampa. Aku sumpah, saat itu, aku hampir mampu merasakan deritanya merindukan tanah air. Aku ini yang baru tiga tahun berpisah jasad dengan Tawau sudah terlalu terbeban dengan berahi cita-cita mengucup semula bumi emasku. Apakan lagi dia?

"Bersabar, pak cik. Bukankah masih ada peluang untuk kembali ke sana?"

"Tiada, nak. Terlalu lambat. Terlalu lambat untuk itu..."

"Kenapa?"

"...."

"..."

"Sudah tiga dekad pak cik tinggalkan Malaysia. Siapakah lagi yang masih ingat akan pak cik? Siapakah yang mahu mengingati nama pak cik yang derhaka ini? Apakah ada peluang kedua untuk seorang pembelot? Pak cik tersumpah nak, tersumpah!"

"Pak cik, benar seorang pembelot tidak layak mendapat peluang kedua, namun bukankah sekurang-kurangnya pak cik pembelot bangsa sendiri? Pak cik masih ingat bertutur dengan Bahasa Melayu, pak cik punya ruang di hati untuk merindukan bumi kita-"

Dan, seorang wanita laga pramugari tiba-tiba menerpa pada pembesar suara yang terlekat pada dinding bercat kayu keretapi. Dengan Bahasa Rusia pekat dan senyuman, dia membuat pengumuman. Semua melihatnya, perbualan berakhir dengan kecangggungan.

"Tuan-tuan, stesen Murmansk Oblast sudah hampir. Harap bersedia untuk meninggalkan koc, jika itu halatuju tuan-tuan."

Pak cik tadi lantas mengelap baki air mata yang mengalir di pipinya. Dia langsung mengemas beg sandang coklatnya yang sudah lusuh dan pudar, lalu berdiri. Bilamana keretapi berhenti pada stesen tersebut, dia berlalu. Sebelum keluar, ditepuknya bahuku:

"Pilih tujuanmu baik-baik, nak. Keretapi tidak akan berhenti pada dua stesen sama serentak..."

Meskipun luahan pendapatku tergantung, aku redhakan kepergiannya (yang tidak bertemu titik pertemuan semula dengannya). Aku balas nasihatnya dengan senyuman, sebelum membeliakkan biji mata:- Moscow di selatan dan Murmansk Oblast di utara!

.........

Aku tidak tahu kisah sebenar pak cik tadi. Yang rindukan tanah airnya, bumi budayanya dan asalannya. Misteri mengapa dia rela memilih Bumi Ivan IV Vasilyevich (Ivan the Terrible) berbanding Semenanjung Emas Parameswara masih belum terjawap. Entah apa lebihnya dingin salju Rusia berbanding hangat tanah Malaysia yang membuatkan dia memutuskan sedemikian.

Begitupun, aku belajar sesuatu dari beliau. Hidup ini umpama memilih keretapi. Kita mahu tidak mahu terpaksa memilih satu destinasi sahaja. Ada kalanya dalam membuat keputusan, keadaan diri kita 'dingin' dan tidak selesa. Namun bertahanlah, supaya arah tujuan kita tidak terpesong. Menunggu sebentar tidak merugikan.

Dan aku? Terpaksa berbelanja lebih gara-gara tidak berhati-hati meneliti tujuan keretapi. Mujur di dunia masih boleh menukar stesen, merubah haluan.

Comments

Popular Posts