Deontologi

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Jujur, minat saya pada falsafah adalah jauh lebih besar berbanding pada sains. Kerana dalam sains saya tidak temukan suatu unjuran spiritualisme, dan kerana sains tidak mampu menjawab apa-apa berkenaan soal jiwa dan perasaan, melainkan menterjemahkannya kepada persamaan-persamaan kimia yang pelik dan stagnan. Bahkan, jika bukan pertentangan Galileo terhadap falsafah Aristotelian Gereja, mana mungkin proses sains wujud.

Etika: Deontologi & Maksim
Immanuel Kant

Terdapat empat cabang falsafah utama: metafizik, logik, epistemologi dan aksiologi. Aksiologi, cabang falsafah yang berkisar nilai terbahagi lagi kepada dua, iaitu estetika dan etika. Secara keseluruhannya, etika berbincang mengenai tindak-tanduk manusia dan susunan yang sepatutnya dan saya percaya ini juga dikenal sebagai moral.

Dalam etika, ada dua mazhab besar; konsekuentialisme dan deontologi. Konsekuentialisme dipegang biasanya oleh golongan utilitarian, manakala deontologi dipegang oleh golongan Kantian. Tokoh penghujah paling terkenal mungkin adalah Immanuel Kant (1724-1804) yang mengasaskan categorical imperative. Secara mudahnya, deontologi mengatakan bahawa niat tidak menghalalkan cara. Semulia mana pun niat seseorang, tindakannya tidak patut melanggar kemuliaan sebagai manusia, atau makhluk bermoral. Kant menghujahkan bahawa seseorang tidak dihukum kerana kesan tindakannya, tetapi tindakannya. 

Contoh: - seseorang mencuri sejongkong emas dari Qarun la`naktullah; meskipun kehilangan sejongkong emas dari gedung hartanya tidak merugikan Qarun, it tidak bermakna pencuri tadi akan bebas dari hukuman. Walau bagaimanapun, di sini kita turut dapat melihat dengan jelas bahawa seorang yang berusaha membunuh akan dihukum gantung sampai mati meskipun percubaannya gagal, dan ini adalah permasalahan sukar buat Kantian.

Berkenaan persoalan mengapa Kant tidak mementingkan kesan tindakan dan adakah categorical imprative beliau menyingkirkan kepentingan natijah tindakan, Kay (1997) menyebut, 
"One reason for the shift away from consequences to duties is that, in spite of our best efforts, we cannot control the future. We are praised or blamed for actions within our control, and that includes our willing, not our achieving. This is not to say that Kant did not care about the outcomes of our actions--we all wish for good things. Rather Kant insisted that as far as the moral evaluation of our actions was concerned, consequences did not matter."
Maksim dalam etika duty-based Kantian ada tiga, dan saya hanya boleh mengingati dua, kita adalah raja segala tindakan peribadi kita dan alamiah/universality. Universality bermaksud bahawa semua tindakan kita harus menunjukkan nilai universalisme yang objektif. Metodologi pengukuran etika ini berfungsi lebih kurang begini: untuk anda mengatakan tindakan anda baik, harus anda menerima bahawa jika tindakan yang sama dilakukan ke atas semua orang, maka tiada kerosakan akan berlaku. Mudahnya: karma (lebih kurang).

Kekurangan

Dalam etika Kantian, terdapat beberapa kekurangan. Pertamanya, tiada rukhsah dalam tindakan. Hanya akan ada "boleh buat" dan "tidak boleh buat". Menipu untuk memelihara keselamatan seseorang adalah salah kerana etika seseorang terbeban atas dirinya sahaja. Contohnya: seorang lelaki bertanya kepada seorang lelaki di mana isterinya tidur kerana lelaki tadi ingin merogolnya. Menurut Kantian, si suami tidak boleh menipu dan harus memperkatakan kebenaran tentang di mana isterinya. Begitupun, masalah ini diselesaikan oleh Kant dengan menyatakan bahawa si suami boleh saja mengunci pintu dan memanggil polis.

Satu lagi adalah dilema moral. Ada beberapa situasi di dunia ini di mana dua kewajipan berlaku secara sekali gus. Deontologi tidak mempunyai mekanisme yang ideal mahupun praktikal untuk menjawab permasalahan ini. Dalam pada itu, utilitarianisme gagasan Jeremy Bentham percaya bahawa adanya greater good. Dan menurut falsafah utilitarianisme juga, dua tindakan yang menghasilkan suatu hasil yang sama adalah sama baik dan seorang individu boleh memilih satu dari keduanya. 

Dua kewajipan yang bebeza pula membawa kepada masalah dalam memilih dan menyelesaikan satu dari keduanya. Kay menambah bahawa kegagalan menyelesaikan mana-mana atau satu dari dua adalah kegagalan moral. Deontologis juga terikat dengan tindakan baik yang mungkin boleh menyebabkan kerosakan pada seseorang bahkan pelaku. Melepaskan singa yang tersepit di celah-celah dahan pokok adalah wajib, meskipun yang melepaskan berakhir dalam mulut singa tadi.

Dalam deontologi juga, perbuatan membunuh kerana mempertahankan diri adalah salah bagi seseorang. Ingat, deontologi menekankan tindakan dari natijah, dan membunuh adalah kesalahan mutlak yang dipersetujui. Jika di medan perang, seorang penganut Kantian adalah pengecut!

Comments

Popular Posts