Kali Terakhir (i)

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Pada entri yang tempoh hari (sini), saya telah mengutarakan kepada diri-sendiri suatu soalan: apakah saya layak menjawat profesion keguruan. Lalu saya berikan diri peluang terakhir, pada SBE terakhir untuk benar-benar mencari jawapan pasti. Jawapan mudah: belum ketemu. Ternyata pada SBE terakhir tidak memberikan apa-apa impak dari segi ini yang tampak. Sebelum itu, ini entri panjang sikit ("sikit").

Pengajaran


Saya banyak belajar dari guru senior. Khususnya aspek pengawalan kelas, tugas guru tersukar. Hairan dan kagum melihat bagaimana dengan kerlingan sedikit, boleh terduduk senyap murid-murid. Bilamana saya buat, uh! Macam kera dapat bunga semua. "Eh, cigu baru! Cigu baru!"

Saya berkeputusan yang saya berbelah-bahagi. Separuh jiwa mahukan cita-cita ini, tambahan lagi mengenangkan ramai lepasan SPM di luar sana yang dambakan profesion serupa. Separuh lagi meronta minta dilepaskan, mahu mengejar minat sebagai ahli sejarah. Meskipun dengan argumen hari itu berkenaan program ijazah ini sebagai jambatan ke peringkat lebih tinggi, ia masih belum boleh merubat kegusaran.

Guru bukan kerja main-main. Rosak kau, rosaklah seluruh murid. Kesan ajarannya bergema dalam sejarah; diingati, dikenang, diulang cerita dan dimacam-macamkan lagi. Justeru benda yang hendak diajar perlu diukur, ditimbang dan ditapis semurninya, sebelum dipindah ke rancangan pengajaran harian. Inti yang ingin ditekankan di sini, kita harus terkedepan dari murid. Undang-undang berinteraksi dengan kanak-kanak: kalau kau kelihatan tiada ilmu, mereka melihatmu seperti tidak berhak.

Nilaian seorang guru bukanlah sekadar memberi ilmu dan mengajarkan bagaimana untuk menggunakan ilmu terbabit dengan akhlak mithali (band enam KSSR), tetapi guru perlu bersaing dengan pemboleh ubah-pemboleh ubah lain yang boleh menyebabkan kita tersungkur kalah dalam membentuk sikap dan budi akal pelajar. Contoh pemboleh ubah: budaya Barat dan hedonisme, polisi kependidikan kerajaan dan lain-lain perkara umum. Guru perlu bersaing melawan persekutuan baharu ini.

Dan lihatlah diri ini


Polisi paling penting: minat. Dari minat, tumbuh ikhlas dan kejujuran dan sayang. Kerana itulah dalam mencari profesion, perlu tepuk dada diri-sendiri, apakah ada minat walaupun sekelumit. Seperti yang saya katakan tadi, separuh diri saya minat menjadi guru. Separuh lagi tidak. Saya berpendapat ia disebabkan tekanan tugasan yang perlu dibereskan untuk mencapai status guru. Atau mungkin kerana desakan jiwa yang tidak habis-habis menuntut hak menjadi apa yang diimpikan.

Minat saja tidak cukup. Perlu ada kerja keras. Kerja keras membuahkan hasil, dan hasillah yang menjadi peneguh hati, pemotivasi untuk terus minat, terus bekerja. Kerana itu, kalau menjadi guru sambil mengadopsi kemalasan, maka minat akan sedikit demi sedikit luntur. Maka saat itulah terpaksa bergelut dalam dilema, apa mahu terus atau berputus asa. Memandangkan saya orangnya pemalas dan suka bertangguh, senario ini kerap berlaku.

Persoalan 'layakkah diri' selalu saya tujukan kepada diri. Bilamana 'diri' cuba bangkit menjawab, rasionaliti selalu mencelah dan menghujat. Saya sedar ada masanya saya kelihatan seperti orang gila; bergusti minda dengan perkara yang entah apa sajalah, namun saya sedar muhasabah sebegini penting. Orang psikiatri berkata, "Jika kamu menolak untuk menganalisis diri, maka kamu tahu kamu mempunyai masalah dalaman diri."

Selalu saya - jika teman sebilik tiada - berpidato sendiri-sendiri berkenaan pendidikan. Saya kira ia suatu alternatif mendidik diri untuk menjadi pendengar dan pelajar. Dari sini saya belajar kapasiti dan kebolehan saya menjadi pendidik, bahkan menghasilkan teori-teori pendidikan sendiri dari jalan serupa. Mempersoalkan - sekali lagi - kelayakan diri yang bukan sekadar tertera pada pointer, sijil ijazah dan hasil temuduga.

Saksikanlah, saya tidak patut menerjuni bidang ini. Ini perakuan saya setakat jam7:00PM pada 7 September 2013. Walaupun minat itu ada, kebolehan itu diakui ada sikit, saya memikirkan jawapan ini mungkin kerana saya perlukan lebih masa berbanding rakan lain untuk menerima. Rasa macam budak lembam pula +.+ 

Comments

NadJoliey said…
You're not alone.

Popular Posts