Betulkah Manusia Itu Ada Dua Mata?

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH


Seperti yang selalu disebutkan sebelum ini, saya manusia dengan banyak persoalan. Baru-baru ini, terbit satu soalan baharu. Soalannya: lelaki yang pertama sekali menemukan cermin, apabila melihat cermin itu, apakah perasaannya? Lama juga bergelumang dalam segala macam premis dan metode falsafah yang telah saya pelajari sepanjang hidup, masih belum ketemu jawapan.

Manusia ada dua mata, kah? 


Ya, kata ramai orang (bahkan mungkin semua). Untuk memastikannya adalah tiga cara: kau lihat mataku, lalu kau tolong kirakan; atau aku raba sendiri mata dab hitung; atau melihat cermin dan bilang. Mana carapun, pasti akan dapat jawapan yang sama. Tetapi, bagaimana kalau mata kita menipu? Tangan kita menipu? Inilah persoalan seorang ahli falsafah.

Kalau ada orang isytihar dia seorang filsuf dan katakan macam ini, sila tampar. Perlu difahami beza manusia yang pesimis dengan kewujudan berbanding seorang filsuf yang sangat yakin dengan kewujudan sehingga ia percaya ada lebih lagi berbanding sekadar apa yang ada pada lapisan eksternal. "Memang ada dua mata," kata si filsuf sejati, "tetapi apa maksud dua mata ini?".

Selalu apabila saya termenung jauh juga, tiba-tiba terbuat keputusan, kalau punya anak nanti, nak ajar dia cara membuat perahu dan kapal terbang kertas. Cara melepas dan menghenjut benang layang-layang. Cara melompat atas tali getah dan membaling selipar yang disusun rapi dalam bulatan. Kemudian gelak sendiri, tengok masa depan; ternampak dia pun tergelak sama.

Sungguh mata ini bukan saja boleh melihat, ia boleh: memandang, memaafkan, membenci, memberi dan membuang kasih, menyetujui, menangis, memutar masa lalu dan paling seronok, mengintai masa depan. Walaupun dikawal para malaikat dan Dia, kenakalan mata untuk membina animasi keinginan selalu membuat kita tersenyum sendiri sambil mencerlang langit.

Mata kita dua, namun gunanya, subhanallah. Semoga sebaiknya :)

Comments

Popular Posts