20 Sen

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH


Sewaktu kecil dulu, 20 sen boleh beli macam-macam. Tapak (atau daun terup mini), gula-gula, ais potong atau ais krim kacang, guli empat butir dan macam-macam lagi. Merangkak remaja, 20 sen itu jadi bahan buangan. Hampir tiada nilai. Hanya setelah bayaran makanan di kafetaria kurang beberapa sen, barulah sibuk mengorek dompet. Mahu tak koyak dibuatnya.

Kemudian, tidak semena-mena:- dewasa. Punya kereta dan tanggungan yang ramai. Isteri merengek minta dibelikan sofa baharu, rantai baharu. Anak lelaki pojok minta motorsikal. Anak perempuan set alat solek. Macam-macam. Itu belum anak yang masih kecil; botol susu, pakaian, baju sekolah. Fuhh. Barulah terimbau betapa 20 sen sangat bernilai suatu masa dulu.

Minyak naik


Gara-gara mahu merasionalisasikan subsidi agar sesuai dengan status ekonomi negara, dan untuk menyusun semula bajet (yang termasuk di dalamnya, BR1M [yang dijanji akan ditingkatkan]), Perdana Menteri mengumumkan kenaikan harga minyak RON95 dari RM1.90 ke RM2.10, yakni sebanyak RM0.20. Oops, bukan kenaikan harga petrol sebenarnya, tetapi pemotongan subsidi petroleum sebanyak RM0.20. Ada pula kata sebab krisis di Mesir.

Sebelum ini, kerajaan membelanjakan RM0.83/liter bagi RON95 dan RM1.00/liter untuk diesel. Bermulai hari ini, subsidi kedua-duanya dipotong sebanyak RM0.20, menghasilkan usturiyyah (ilusi) harga minyak naik. Sebenarnya, kalau baca sikit-sikit apa pakar ekonomi kata (Financial Times, contohnya), subsidi melindungi pengguna daripada harga borong minyak yang tinggi, tetapi kemudiannya meningkatkan permintaan minyak dan mendorong kenaikan harga borong. Kalau ikut logik ini, pemotongan subsidi boleh rendahkan harga barang. Kita lihat sajalah.

Apapun, sabar sajalah. Kalau hendak diturut marah pun, tidak kemana harga minyak tu. Diharap keputusan ini ikhlas demi rakyat. Dalam masa yang sama, mohon pak-pak menteri menjadi teladan, menunjukkan mereka benar-benar berjiwa rakyat dengan menaiki kenderaan awam ke pejabat atau berbasikal. Korbankan Honda Accord tu. Barulah morale rakyat naik sedikit untuk menghadapi kesan defisit fiskal nasional apa entah.

Comments

Popular Posts