Pihak

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Sempena pilihan raya umum yang bakal berlangsung 5 Mei ini, saya turut mahu berkongsi sedikit pendirian berkenaannya. Supaya yang kabur dengan posisi saya, dapat melihat dengan lebih jelas. Atau paling kurang, berhenti menuduh saya "budak belum sunat yang gedik sorang-sorang perjuangkan Islam" (serius, ini adalahh perkataan seorang rakan Facebook.

Kekejaman

Saya adalah seorang non partisan. Maksudnya, saya tidak menyebelahi mana-mana pihak, berlandaskan perkara yang saya telah fikir dalam-dalam. Agama pada saya adalah kebenaran, maka kalau kamu beragama sekadar ikut-ikut tanpa kesedaran, saya cenderung untuk gelar kamu taqlid a`maa (ikut secara membuta-tuli).

Antara non partisan dan orang yang langsung tidak melibatkan diri dalam politik, ada perbezaan yang sangat mendasar; non partisan sekadar tidak menjadi ahli mana-mana parti, manakala orang yang tidak melibatkan diri dalam politik. Non partisan orangnya biasanya celik politik, manakala yang kedua itu buta politik, yang menurut Bertolt Brecht, "buta paling teruk".

Saya bukanlah wakil non partisan se-Malaysia. Bukan juga saya mengatakan saya celik mata dalam bidang kotor ini (saya maksudkan demokrasi). Namun, biarlah saya berkongsi sedikit cerita yang mungkin memberi faham ke kamu mengapa posisi ini saya pilih. Tetapi tidaklah saya ceritakan secara teliti, takut-takut esok terbangun di balik jeriji. Kamu fahamkan, maksud saya?

Mula

Saya mula-mula mengambil tahu isu-isu politik sewaktu di MRSM dahulu. Rakan saya yang hampir semuanya berjiwa berontak, saban malam bercerita mengenai komplot sulit pembunuhan Altantuya dan sindiket memfitnah Ketua Pembangkang. Namun semua yang mereka perihalkan tidak lebih dari hipotesis. Begitupun, saya terpengaruh untuk sepihak dengan mereka.

Kemudian semakin saya menjadi lebih matang, saya mulai melihat ketidakrasionalan bersikap demikian, sedangkan segala yang saya percaya itu adalah pilihan secara persepsi dan bukan fakta. Saya tidak percaya Perdana Menteri mengebom Altantuya, sama seperti saya kurang yakin Ketua Pembangkang pernah melakukan sodomi (ini saya pegang sampai sekarang).

Saya menjadi 'biru' tidak lama kemudian apabila saya dapat merasai betapa enaknya menjadi Muslim di bawah pemerintahan mereka. Saya melihat kesungguhan mereka mempertahankan Melayu syaukah Islam. Ada suatu perasaan yang menyenangkan apabila dapat duduk senada dengan mereka dalam banyak isu, khususnya isu hudud. Pada ketika ini, saya jahil dalam isu hadd Allah SWT.

Saya juga menjadi 'biru' kerana melihat manhaj mereka lebih mendekati sunnah Nabi. Saya belajar hukum mentaati pemerintah, hukum demonstrasi, hukum ini dan itu demi tidak mahu tertipu dengan pihak berlawanan dalam hal keagamaan, dan ternyata, 'biru' lebih mirip cara Nabi (dalam urusan politik).

Kemudian beralih lagi kepada 'hijau', apabila saya tertarik dengan akhlak pemimpinnya. Hukum demonstrasi dan hukum mentaati pemimpin, hukum berdebat dan banyak lagi saya tafsir dengan jalan lain atas bimbingan seorang saudara 'hijau' ini, dan dia banyak ajar saya pasal sistem politik Islam. Sedihnya, dia jugalah yang ungkapkan gelaran di atas.

Cuba untuk menyesuaikan diri dengannya buat beberapa ketika, tidak lama, sebelum saya ambil keputusan untuk menjadi non partisan. Saya menjadi demikian bukan kerana saya malas ambil tahu hal politik, tetapi kerana banyak belajarlah saya berpendirian begitu. Sebabnya? Kamu mesti bergaul dengan saya baru kamu faham.

Kesimpulan

Orang non partisan sukar ditipu. Sama ada melalui fakta mahupun logik, mereka terdorong untuk menggunakan akal sendiri sebelum benar-benar menerima parti yang mereka kaji. Sekalipun dia seorang buta isu-isu kenegaraan, dia masih sukar untuk mengambil pihak lantaran sikapnya yang sentiasa bergusti dengan kepalsuan dan penipuan. 

Tetapi yakinlah, saya pejuang atas nama Islam. insyaAllah.

 

Comments

Popular Posts