Babak-babak Hidup: Kamu, Yang Mana Satu?

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Siri anekdot 
Terkadang kau bertemu seseorang yang sangat istimewa bagimu. Kau mula menyangka bahawa dialah 'orang'nya, dan kau mula berfikir pasal jodoh, berimaginasi pasal bersiar-siar bersamanya di lorong-lorong tenang Paris dan terusan Venice. Kemudian, Tuhan mengambilnya dari kau sama ada dirampas orang lain, atau dia pergi dengan rela atau kematian. Lalu kau akan apa?

Dalam hidup juga, selalu kau meraih kekayaan yang mungkin tiada pada orang lain. Kau mula menyangka Tuhan sayangkan kau lebih, mula kurangkan ibadah, kerana walau bagaimana ingkarpun kau, Tuhan tetap beri kau kesenangan. Apatah lagi bila rakanmu yang teguh ibadahnya kelihatan lebih miskin, maka semakin kuatlah persangkaanmu.

Juga, akhirnya kau bertemu si dia. Di bawah pohon cemara kau lafazkan cinta, lalu berakhirlah kau dengan bahagia di jinjang pelamin. Rakanmu memuji dan mencemburui kecantikan isterimu, sanak-saudara tidak lepas dari mengungkap rasa kagum akan betapa 'bagai pinang dibelah dua'-nya kamu. Dan entah kenapa, tidak sampai setahun, semuanya porak-poranda.

Pernah juga diceritakan, kisah seorang lelaki yang mencari makna dirinya. Seluruh usia mudanya dihabiskan mencari erti, memikirkan apakah kewujudan memberi apa-apa makna atau sekadar sebutir pasir di tengah padang pasir. Kala anak muda lain sibuk bergembira berparti, dia termangu memandang ke luar jendela, merayu Tuhan untuk turunkan ilham. Pada usia tuanya, dialah manusia paling bahagia.

Renunglah
Terdapat banyak lagi babak dalam hidup yang boleh dituliskan di sini. Dari kisah seorang penghidap kanser, ke kisah seorang penjaja nasi lemak yang anaknya mati dipukul samseng jalanan, ke kisah janda yang terpaksa melacur diri demi mengekalkan keberhidupan tujuh orang anaknya. Kita cuma perlu membuka mata lebih luas.

Rugilah kalau di sebalik cerita-cerita hidup ini, tiada teladan diraih. Rugi sungguh rugi. Belajarlah tentang hidup sebanyaknya, dan kutip seberapa daya upaya. Cita-cita? Kalau kau mahu kejar, kejarlah seperti sang singa mengejar pelanduk di dataran savana. Jangan pernah jeda, teruskan berlari walau dalam cungap.

Yang menulis ini, walaupun cita-citanya lapan belas, sebenarnya masih kabur tentang 'pelanduk' yang dikejarnya. Namun terus saja ia belajar:- dari kawan-kawan, dari orang yang lebih berpengalaman, dari alam bahkan kehidupan itu sendiri. Semuanya demi mencari apa yang paling dekat dengan dirinya. Dia sekadar mahu hidupnya bererti.


Oh ya, dalam kau memerhatikan manusia, jangan lupa; kau juga diperhatikan. Di pentas kehidupan ini, kau jualah salah-seorang pelakon babaknya. Saya ingin kongsi pandangan seorang kawan yang saya rasa rugi jika tidak diajarkan:
"pendek kata, org itu pasti suka lihat org lain sebagai muvi atau tatapan utk hidup diteruskn. mksudny, tgk si anu, pastu mana silapnya diperbetul dan buat dlm kehidupan sendiri, dalam apa pun perkara. sini sy sentuh pasal jati diri. manusia akan sedar kejadiaanny bukan serupa dengan yg lain tp punya tujuan ke Allah."

Comments

Popular Posts