Bukan Rungutan

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH 

Mungkin tidak sesuai untuk dikatakan di sini bahawa, saya stres. Alihkan pandangan ke mana-mana, berpinar-pinar bayangan fail dan folio kelihatan. Bahkan untuk menutup mata, tidur sekejap pun, rasa dibebankan suatu yang sangat berat dan menjengkelkan (dan aneh, ada masa untuk menulis blog). Oh, di mana masa remaja yang sepatutnya happening? What's happening!? (Minta Dia kuatkan jiwa saya dan kawan-kawan segenerasi. Aamiin).

Kehidupan

Masa bergerak sangat pantas, kan? Pejam celik, pejam celik; sudah tiga bulan—untuk tahun ini—dihabiskan. Menghitung segala detik masa yang tercurah atas ‘entah-apa-apa-entah’, saya tidak berkata dengan penyesalan yang saya telah gagal mengurus hidup. Asalkan boleh hidup, tujuan masih jelas (inshaaAllah), maka saya boleh anggap yang saya masih waras. Pengurusan hidup masih boleh diterima. Oh, hidupnya seorang minimalis!

Kamu tahukan, bagaimana saya sukakan erti dari rupa? Isi dari bilangan muka surat? Maksud dari sekadar menyiapkan? Hah, begitulah saya pandang tugasan. Bukan nak berbangga (jika kamu rasa sentimen ini wujud, sedang saya bercerita), tetapi syukurlah saya tidak memerangkap diri dari terlalu diperhamba sistem. Nel Noddings kata apa? “To learn is to be full of happiness”. Beliau, seorang ahli pendidikan Amerika sekalipun sedar betapa penting bahagia dalam belajar.

Semua tugasan ini bukan alasan untuk tidak rasa bahagia (walaupun ironisnya, saya rasa sangat terbeban sedikit). Carilah masa untuk membina sebab-sebab yang boleh menyebabkan kau mahu terus menyelongkar gedung ilmu dan menyayangi ilmu. Meskipun ini bukan cita-cita asalmu (mengherdik diri-sendiri), sekurang-kurangnya ayuh usaha untuk memanfaati setiap saat. Takkan kamu mahu hidup 35 tahun sepanjang menjadi pendidik, menghidupi kerjaya yang kamu tidak sayang?

“Kita remaja, Sin… Relax sudah!"

Dalam berusaha mencintai ilmu, tiada disebutkan bahawa perlu untuk mengorbankan kebahagiaan zaman remaja. Puan Evelyn pernah cakap, “College life is the best part of life, I swear”. Tetapi kau sudah besarlah, patutnya tindak-tanduk kau semuanya ada makna. Kita susah-payah buat fail, buat tugasan, takkan untuk memuaskan kehendak sistem saja, kawan? Itu membiarkan diri dalam penghambaan tu. Bangkitlah, dan ayuh cari makna.

Semoga difahami, khususnya dia. Mulai risau tentang dia.

Comments

Popular Posts