Cabang Kesesatan

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Apa yang bakal saya tuliskan bukanlah bersikap populis, yakni mencari kemahsyuran dengan mengkomentar budaya mainstream. Bukan juga bersikap anti dengan pelakunya. Sedikit ekstrim barangkali, dan semuanya tersandar pada pandangan saya. Dekat dua hari tahan hati; makin lama makin berleluasa. Mahu terima atau tidak, kehendak pembaca.

Gwiyomi

Setiap kali saya buka akaun 'Facebook' saya, video yang bertajuk di atas, atau parodi-parodinya mahupun versi-versi Islamiknya akan terpampang pada halaman home/newsfeed. Stres menengoknya. Jujur, saya belum (dan mungkin tidak akan) menontonnya, melainkan parodi seorang pak cik tua berjambang. Tapi saya hairan, cepat benar budaya ini berkembang.

Dulu kita ada shuffle, kemudian kita ada wiggle, planking, Oppa Gangnam dan Harlem Shake. Sekarang kita ada Gwiyomi. Tiada satupun saya suka, bahkan isytiharkan perang ke atas semua budaya ini. Laghohnya, mudharatnya, mafsadahnya terhadap bangsa dan umat memang seribu satu (kenyataan hiperbola sedikit). Dan entri ini adalah reaksi saya secara umum kepada semua budaya itu.

Katalah

Bayangkanlah Nabi Muhammad (SAW) masih hidup:- kemudian kamu buat parodi Gwiyomi dan sebarkannya ke laman-laman web (yang dihalalkan HANYA kerana ia medium dakwah dan islah yang bagus), atau membantu menyebarkan video tersebut (subahat). Apakah Baginda akan berkata, "Subhanallah, inilah umatku. Inilah pejuang Islam sebenar!"

Entah kalau kamu bagaimana, tapi kemungkinan besar Baginda (SAW) tidak akan berkata demikian. Saya tidak boleh menduga bagaimanalah sikap Rasulullah (SAW) terhadap budaya tasyabbuh ini, namun saya berani katakan; ini salah-satu dari cabang-cabang kesesatan. Dengar dahulu hujah sebelum cerca.

Ataupun begini: Hassan al-Basri, Imam Shafi`e, Imam Ahmad, Imam Hanafi, dan Imam Maliki (r.a) ada. Kemudian dilihatnya seorang Muslim menyebarkan video ini; ada kemungkinankah mereka akan berkata, "Ini selari dengan ajaran kami semua. Teruskan". Saya meragukan reaksi sebegini dari mereka.

Hujah-hujah

Pertama: ianya bukan dakwah apalagi islah. Ia tidak mambawa kepada kebaikan diri mahupun masharakat. Maka apabila ia bukan <bersifat> demikian, apakah ia kalau bukan kesia-siaan? Kalau bukan yang mengheret kepada kehinaan? Syeikh Riad Ouarzazi menyebut, andai kamu tidak memanggil kepada kebenaran, kepalsuan akan memanggilmu.

Kedua: ia bukan dari Islam, ataupun furu`-furu`nya ataupun yang boleh membawa kepada penyempurnaan furu`. Ia tiada hujah apapun untuk disokong (kalau ada, sila kongsi), bahkan ketiadaan budaya ini akan membantu pengekalan budaya (amalan) Islami. Masa yang boleh digunakan untuk berzikir, atau berfikir pasal hidup, atau mentadabbur sifat Tuhan, terbuang menontonnya.

Ketiga: mudharat yang dibawanya terhadap umat. Mulalah anak-anak muda kita yang gedik merakam diri berlagukan Gwiyomi di hadapan kamera, dengan tarian-tarian gedik, lalu memuat naik ke Internet. Ada yang tidak menutup aurat, ada yang tabarruj, ada yang berniat mencari al-jah (kemahsyuran) yang haram dengan cara yang salah. Sayidina Umar (r.a) berkata, "Allah akan menghina kita jika kita mencari `izzah selain dalam Islam."

Keempat: wujud unsur maksiat dalam liriknya, andainya kalaupun kamu bela ia harus kerana ia hiburan. Saya maksudkan lirik ini: "geu ipsul makgoseo" yang membawa maksud "lekapkan bibir kita". Kata Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam 'Fatwa-Fatwa Kontemporari', haram muzik apabila berunsur maksiat. Apa? Kau ingat lelaki-lelaki yang menonton video seperti itu untuk mensucikan diri?

Kesimpulan

Ya, mungkin benar agak keterlaluan untuk mengatakan budaya Gwiyomi dan budaya-budaya lain sepertinya sebagai cabang-cabang kesesatan. Namun kalau difahami 'kesesatan' seperti mana kesesatan 'mengambil jalan lain selain Islam', maka bolehlah dikatakan ia tempias-tempias. Baiklah, ia tempias-tempias kesesatan. 

Kalau ditanya hukum menyebarkan, saya tanyakan soalan retorika: apa pengedar arak tidak berdosa mengedarkan arak, meskipun ia tidak meneguknya? Hmm. Ini pendirian saya, saya pun ada silap-salah. Saya pun dengar lagu juga (tapi inshaAllah, sedaya upaya turuti fatwa Hujjatul Islam Syeikh Yusuf al-Qardhawi). Kalau ada salah, mohon dibetulkan segera.

Katalah saya kolot, ultra-konservatif, katak bawah tempurung dan sebagainya, setakat ini saya belum nampak rasional perlunya pembikinan mahupun penyebaran video sedemikian. Memetik kata-kata Hilal Asyraf yang agak panjang:
Antara bukti kekosongan jiwa adalah apabila kita pantas mengikut arus sesuatu trend. 
Datang Gangnam kita pun sibuk bergangnam.
Bila Harlem Shake menggegar, kita pun lumba-lumba sibuk berHarlem Shake.
Bila wujud trend Gwiyomi, kita semua bersungguh-sungguh nak berGwiyomi juga.
Sanggup kita mengatur gerak langkah, susah payah upload di Youtube,
menghabiskan masa dan tenaga, semata-mata nak kata kita tidak ketinggalan
dengan trend-trend tersebut.  
Mengapa? Kerana jiwa kita selama ini kosong.
Dek kekosongan itu maka kita ada tenaga dan masa yang banyak
dan tidak tahu hendak berbuat apa dengan masa tersebut.
Maka dek kerana kekosongan itu jugalah maka kita akhirnya menggunakan kudrat, masa, kreativiti kita membuat Gangnam Style, Harlem Shake, Gwiyomi versi kita sendiri.  
Orang jiwa terisi dengan iman dan taqwa
serta merasa hidupnya ada perkara besar untuk dilaksanakan,
maka jadualnya padat dengan kerja-kerja pembinaan kader dakwah
dan penyebaran wa'yul Islam melalui potensi yang dia ada.  
Tidak sempat baginya masa untuk sibuk dengan trend terkini,
tidak pula wujud lagi tenaga baginya yang tersisa untuk perkara nan sia-sia.
Kerana masa, kudrat, dan potensinya sepenuhnya
diberikan kepada urusan dakwah dan tarbiyah Islamiyyah.
Dek kerana jiwanya terisi dengan iman dan taqwa kepada Allah SWT.
-via: Hilal Asyraf Official 

Comments

hetty said…
"Sayang..pada mereka yang tak mengerti. Sayang..pada hati tertutup mati. Bagai sangkar tanpa penghuni. Burung berharga terlepas lari."

"Bila Rumi Menari" by M Nasir.

Metafora cantik, hati berdetik.

Popular Posts