Dosa

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Kalau bercakap pasal dosa, sayalah orang yang paling sesuai untuk ditanya. Bukan pasal cara menghapusnya atau untuk mengaibkan diri-sendiri, namun pasal rasa sakitnya, rasa pedihnya penyesalan itu bila terkenang setelah lama bergelumang dalam lautan dosa. Penyesalan yang boleh buat diri rebah lantaran lemah menanggung sakitnya. Masi saya kongsikan sesuatu yang inshaAllah berguna untuk semua.

Dosa = Kotor

Pernah saya terbaca sebuah hadith; kalau kamu berbuat dosa, jangan katakan jiwamu kotor, tetapi katalah dirimu lemah. Saya belum ketemu syarahnya, namun berdasarkan pengetahuan saya, jiwa tidak pernah kotor. Jiwa hanya dilapisi kekotoran dan kemungkaran, kerana secara fitrahnya jiwa itu bersih. Sebab itu pernah disebut (tidak pasti hadith qudsi atau Al-Qur`an): "Masuklah kamu, wahai hambaKu yang berhati bersih"

Apabila seseorang meminjamkan kamu sesuatu--pingganlah, misalnya---dalam keadaan bersih, maka akan ada perasaan untuk mengembalikan semula pinggan tersebut dalam keadaan bersih. Bayangkan jika si peminjam tiba-tiba datang menuntut semula pinggannya, sedangkan kamu belum mencuci selepas menggunakannya, apakah kamu tidak rasa bersalah?

Begitulah barangkali patutnya kita melayani jiwa. Tuhan pinjamkan ia kerana dengannya kita boleh menikmati kehidupan (dan beranjak ke kehidupan yang lebih bahagia selepas itu) di dunia ini. Memulangkan 'barang pinjaman' yakni kematian adalah suatu tarikh yang tidak terduga, lalu harus selalu kita bersihkan ia, supaya tiba waktu pemulangan nanti, tiadalah penyesalan bertandang.

Nikmat melakukan dosa itu, sangat-sangat saya kenal, dan sangat-sangat saya benci pula. Ada ketikanya saya berminta agar ditamatkan 'tempoh pinjaman' awal, supaya tidak lagi saya selingkuh dengan penggunaannya. Yalah, jiwa disuruh untuk mentaati, kita perguna untuk mengingkari.

Salam kasih-sayang, saudara-saudariku. Semoga kita berkumpul semula di kampung halaman kita, di syurga. Peliharalah sebaik mungkin jiwa, mungkin malam ini 'waktu pemulangannya'.

"Masuklah ke dalam syurga, wahai hambaKu yang berhati bersih".

Comments

Popular Posts