Demokrasi Kelas

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH 


Alhamdulillah, akhirnya bebas dari tugasan. Saya perlu akui, baaaaaaaaaaaanyak ilmu dan pengajaran yang saya perolehi untuk empat bulan pertama tahun ini, khususnya dalam menjadi guru pelatih. Kesukaan terhadap profesion ini kembali pasang, setelah surut semasa PBS lepas. Semoga Tuhan berikan kekuatan, kalau ini yang terbaik buat saya dan orang sekeliling. 

Diri 

Kalau kamu baca pasal humanisme (kalau berminat, saya boleh kongsikan melalui salinan), kamu akan tahu bahawa salah-satu fitrah manusia—atau mereka kata, nature—seorang manusia adalah mereka ingin diiktiraf kewujudan mereka. Dalam pedagogi, pendapat “manusia inginkan pengiktirafan” menjadi premis yang popular, dianuti Rudolf Dreikurs, Alfred Addler, Carl Rogers (he’s the man), Abraham H. Maslow dan banyak lagi.

Maka dalam pendidikan, tujuannya adalah untuk menjadikan manusia “ter-iktiraf”; kita buat sehabis baik agar kewujudan kita mempunyai makna, dan paling kurang setaraf dengan orang lain. Maslow gelarkan ini sebagai self-actualization atau penyejatian diri. Kita belajar untuk menambah nilai diri. Mudah, bukan?

Salah-satu ciri manusia sejati adalah mereka sangat demokratik (McLeod, 2007; 2012)(ooh, some serious citations). Mereka sedia memberikan pandangan, dan sudi pula mendengar pandangan orang lain. Maka mereka tidak mudah menghukum. Dari kaca mata ini, Dreikurs adalah seorang pseudo-demokrat yang hebat (sila teliti cara Dreikurs mengamalkan demokrasi). Apapun, salah-satu cara demokrasi berjalan dalam kelas adalah melalui perbincangan.

Sekarang, jika kita menerima penyataan ini, maka di hadapan kita ada suatu persoalan yang sangat besar. Soalan ini saya tanyakan kepada Zulfadhli dan Cik Yan, setelah Zul habis membentangkan Model Logikal Dreikurs. Soalannya: “Mengapa manusia perlukan perhatian?”. Sebabnya, apabila meneliti dalam-dalam, perhatian tidak termasuk pun dalam keperluan yang jika tidak dipenuhi, akan menghalang kehidupan seseorang.

Bersihkan minda sekarang. Bayangkan seorang kanak-kanak; lahir saja, terus minta perhatian. Kenapa? Pembayangan ini memberikan saya satu kemungkinan jawapan: - jika tiada perhatian diberikan, maka keperluan tidak akan dapat dipenuhi. Maka kanak-kanak meminta perhatian agar keperluan mereka tidak terabai. Hasilnya, argumen akhir adalah, ‘mencari perhatian’ bukanlah fitrah tetapi tabiat, kebiasaan sejak kecil.

Dalam pendidikan, saya rasa penghapusan tabiat ‘mencari perhatian’ ini harus dilakukan secara perlahan-lahan. Kita tidak mahukan generasi yang melakukan sesuatu hanya kerana orang lain dan bukan untuk dirinya sendiri (hei, Dreikurs sendiri katakan ‘TIDAK’ pada dorongan dari luar!). Kita hendak melahirkan murid yang belajar kerana integriti diri, dan paling penting: men-sejatikan diri mereka. 

Pasal Dreikurs 

Kalau kamu tertanya-tanya mengapa saya gelar Dreikurs sebagai pseudo-demokrat, mari baca sikit. Kata Dreikurs, kanak-kanak harus diberi kuasa dalam menentukan peraturan sekolah. Namun sepanjang penggubalan peraturan tersebut, beliau menyebut kepentingan  membimbing pelajar untuk menggubal yang sesuai dengan kehendak guru tersebut.

Ia seperti mengatakan, “Kamu boleh menggunakan apa saja pewarna untuk mewarna lukisan kamu”, tapi hanya menyediakan pewarna biru, kuning dan hitam. Pensyarah saya katakan itu demokrasi terbimbing, saya kata itu nama lain bagi autokrasi dalam kelas. Tapi tidak pula saya menyebut, kerana bagi pensyarah saya mungkin, demokrasi memilih sikap ini sama seperti demokrasi pilihan raya memilih parti.


Sekian.

Comments

Popular Posts