Platonik

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH
"Sesetengah harapan dan sebab hidup bisa kautemukan dalam mata kawanmu"
- Entah Siapa
Saya tidak boleh membayangkan bencana seteruk tidak mempunyai kawan platonik. Diandaikan, kawan platonik ada suatu jenis kawan yang rapat denganmu atas sebab-sebab metafizikal; psikologi, intelek dan emosi (tergabung, jadi juzuk batiniah). Kerana, sehebat manapun engkau mengajar menjadi cikgu, berjaya membuatkan murid faham simbol '>' (iya, saya berjaya. Hewhewhew), kalau di sisimu tiada kawan platonik, saya hampir yakin hidupmu sekadar itu saja. Umpama gurun; tandus, meskipun menyimpan khazanah Qarun sekalipun.

Masih ingatkah ini, kawan?

Kawan, jangan jadi angkuhlah yang kita boleh hidup sendirian. Suatu saat, kita akan menyadari bahawa pergantungan hidup ini tidak boleh digantungkan di leher sendiri saja, jika tidak, ia akan jadi seperti tali sang algojo. Perlahan-lahan, ia akan menjerutmu, mencekik darah dari mengalir ke otak, lantas jiwamu mati. Paling kurang pun, kau akan berhalusinasi, atau mencari kaedah-kaedah lain yang barangkali salah, untuk kau tebus sengsara hidup sendirian. Saya pernah di situ, khususnya sewaktu semester lima. Suwisaidal betul masa itu.

Kawan platonik mencintai kau bukan kerana rupa (biarpun menulis kontemporer Platonisme, ia bermula dengan ketertarikan fizikal). Dia mencintai kau kerana keindahan akalmu. Apa yang berpusing-pusing di dalam kepalamu, itu yang dia kagumi. Cara kau membahas dan membahasakan dirimu di depan khalayak (yang mungkin berbeza sewaktu kau berhadapan dengannya), dan cara kau melihat dunia. Inilah Shang Ri-La Platonisme. Dan ini yang menjadikan percintaan platonik sesuatu yang memberangsangkan saya, secara peribadinya.

Pemangkin nurani?

Atau ini?

Yang lebih menyakitkan di dunia ini berbanding kesakitan fizikal adalah kesakitan mental. Kalau sakit fizikal bolehlah berjumpa doktor atau dukun-dukun, tapi sakit mental ini sukar ditemukan jalan keluarnya. Hanya orang yang betul-betul kenal kau boleh menghulurkan sedos dua penawar. Keluarga? Iya, mereka terkadang bias. Kawan biasa? Uhm, boleh jadi mereka berpura-pura. Tapi, kawan platonik... merekalah tempat kau seharusnya mencari ubat. Tentang apa saja, khasnya tentang lahar batin yang kau pendam berbulan lamanya.

Memandangkan kesakitan emosi dan mental lebih mudah dipendam, maka ianya biasa akan meletus menjadi depres ('spiritual implosion') hanya setelah beberapa ketika. Kerana inilah, sesetengah orang berkata, kawan sejati (kawan platonik) adalah biasanya yang jarang kau jumpa, sebulan dua barangkali, namun bila kau jumpa, jiwa kau jadi tenang dan beransur berani. Tidaklah saya katakan kawan yang kau sikapi sehari-hari sebagai palsu dan tidak jujur, jangan silap faham. Hakikatnya, kejujuran mempunyai batas-batasnya sendiri.

Mencari kebenaran?

Haha. Teringat nama asal blog saya dulu: 'akusvenpencarikebenaran.blogspot.com' (kliklah, ia pos bertarikh 29/07/2011 tentang persahabatan). Sebetulnya, pesan Diotima, cara paling tepat dalam menggunakan kecintaan kepada manusia adalah mendorong minda seseorang kepada kecintaan kepada hal-hal ketuhanan. Saya tidak pernah mempunyai sahabat yang tetap (paling lama, enam bulan?), justeru tumbesaran saya dihantui malnutrisi ruhani. Bila besar, keperluan terbantut ini saya lunaskan kepada kawan-kawan sekeliling.

Kita hidup tidak lama, kan? Lepas dunia ini, matilah. Masuk ke lubang kubur dan kalau bertuah, pertimbangan amal jadi mudah dan kita lepas ke syurga. Kawan-kawan biasa boleh buat kau tertawa dan menikmati hidup. Tapi, yang lebih istimewa adalah yang mengheret kau kepada persoalan yang lebih besar dari dunia ini (the larger-than-life question). Sebabnya, dia mahu jadi pendamping kau sampai syurga. Dan inilah yang cinta mampu lakukan kepada manusia, saya tidak tipu. Bukankah ini hakikat sebenar rasa kasih-sayang?

Ini?
Malangnya, di negara kita, cinta platonik itu suatu perihal tabu. Seorang lelaki tidak boleh memuji kawan lelakinya yang lain secara jujur, apalagi meluahkan rasa sayang. Dikatakan songsang. Padahal Nabi Muhammad SAW pernah meraih tangan salah-seorang sahabat lalu berkata, "Aku sangat mencintai lelaki ini!". Perspektif cinta kita terbantut pada hal-hal fizikal. Ambil satu contoh lagi; Syeikh Jalaluddin Rumi r.h dan Syams at-Tabrizi. Di Barat, dek perspektif cinta yang salah, mereka menganggap kedua-dua ini golongan songsang!

Poin saya, carilah kawan platonik. Satu pun cukuplah. Berteleku, belajar banyak-banyak dari mereka. Jadikan mereka guru. Hormati mereka sebagaimana kau menghormati gurumu. Jangan banyak cakap, dengar banyak-banyak, macam mana kau mendengar kepada gurumu. Untuk setiap saat kau bersama dia (walaupun jarang bertemu), raikan dia dengan kasih-sayang. Semoga kita dan kawan-kawan platonik kita bertemu di syurga. Aaamiin.

Comments

Popular Posts