Karma

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH
Pos ini sepatutnya ditulis sebulan lalu. Kerana apa? Kerana saya sudah berjanji kepada si kawan ini, bahawa saya akan menulis mengenai perkahwinannya. Jadi, mohon maaf saya ucapkan kepada kau, Izzuddin. Semoga ini memadai untuk menebus kesalahan saya telat datang ke majlismu dan menuliskan mengenainya. Dan mungkir menjadi fotografermu.

Dimulakan cerita...

Pertama sekali, saya fikir perkahwinanmu adalah pada 15 haribulan. Saya terlupa tarikh keramat itu. Maka, saya (dan kami) terlewat, terlepas merakamkan detik kau melafazkan untaian akad bererti itu. Saya tidak mempunyai gambaran jelas tentang pernikahanmu, tapi firasat saya betul yang kau akan memakai baju putih [krim]. Melalui gambar yang ditunjukkan seorang kawan, kau kelihatan gembira, macam seorang kanak-kanak yang selama ini tercari-cari suatu kepingan pasang-suai lalu menemuinya. Serius, saya terharu kau sudah berpunya.


Ketika kami sampai, kau sedang melayani para tetamu. Kau nampak kami, kegembiraan jelas terpancar di matamu. Rantai perak yang kau gantungkan di lehermu berkilau oleh cahaya petang. Kau jemput kami masuk ke dalam, melihat-lihat pelaminan dan pengantinmu. Muka yang kau sarungkan adalah seratus-peratus kebanggaan. Pelamin kau tidak menepati firasat saya pada 29 Julai 2012 itu, tapi tidak apalah. Yang penting kau sudah sah berumahtangga.


Kita duduk bersila di depan bangku pelaminanku macam seperti kita selalu di student center atau downtown Velodrome sambil menunggu pesanan siap (kecuali, kita duduk di kerusilah). Kita berkongsi perkembangan masing-masing; tentang kau yang sudah ada isteri, tentang Zulfa yang bakal membentangkan kertas kajian di Bandung dan Nadiah dan Ewi. Kita berborak macam dua kekasih saling melepaskan rindu. Di dada tika itu cumalah keterharuan.

Sesi bergambar dengan kedua-dua mempelai selesai, kau ajak kami makan. Raja sehari berbaju biru langit mengiringi tetamu makan? Itu memang sangatlah jarang berlaku. Maksud saya, kau tidak berperangai seperti raja pun, kau masih Izzuddin yang saya sayangi. Makanannya enak, siap ada budu lagi. Saya kira itu suatu emfasis betapa kau bangga berjaya menakluk kerajaan hati seorang puteri Kelantan. Sememangnya ia suatu kerja keras.

Di luar, berdekatan tingkap besar, kita bergurau-senda lagi. Jurugambar upahan asyik-asyik datang mengingatkan bahawa masa penggambaran semakin hampir. Saya salah lagi; tiada kugiran atau band untuk saya mendendangkan lagu 'I Won't Give Up', seperti tiadanya Farahida, Farah Musa dan lain-lain yang saya sebutkan dalam firasat tahun 2012, kecuali saya, Nadiah dan Ewi. Kebetulan azan baru saja berkumandang. Maka, kita berpapasan ke simpang jalan besar. Kamera saya tidak henti-henti mengambil gambarmu. Mengabadikan.


Usai solat Asar, kita berjanji untuk makan malam keesokan harinya. Sempat kami ke Wakaf Che Yeh, melawat dua muzium dan ke Rantau Panjang. Fuhh! Memang menggunakan sepenuhnya masa kami di negeri Che Siti Wan Kembang. Duit entah berapa berjaya dihabiskan. Tapi, kami puas. Saya puas, sebab saya menghabiskannya dengan kawan-kawan yang tersanjung. Dengan guru. Dengan gaji sendiri. Hah, meriak pula di sini HAHA.







Bila masa kita berjumpa untuk makan malam seperti yang dijanjikan, kau belanja kami. Saya yang pesan makanan mahal pun jadi malu-malu udang karang lipas kau (saya ketawa di bahagian ini). Maksud saya, sudahlah kalian berdua lebih memerlukan, saya boleh pula pesan yang mahal-mahal. Tapi, saya tidak menjangka pun kau akan membelanja. Jadi, janganlah kau serik membawa kami makan ais krim bboloque itu. Anehnya nama. Hey, perjalanan malam kita disambung dengan minum kopi dengan Zulfa dan Afiq Anuar. Epiknya.


Habis...

Sejujurnya, tidak seinci pun hati ini terkilan, terluka dan tersesal mendatangi perkahwinanmu. Saya jadikan ianya semacam suatu kewajipan, tahu? Sebab saya sudah berjanji. Dan kau kawan saya. Cuma, yang saya sesalkan, adalah tidak menanyakan soalan ini: "Adakah kau bahagia?" dan mengatakan ini pula: "Kau sudah dewasa, kawan". Ia antara perkara yang buatkan saya rasa seperti seorang dungu. Minta maaf, Izzuddin. Moga engkau memaafkan.


Semoga perkahwinan kalian kekal melepasi maut langsung ke pelaminan syurga. Aamiin.

Comments

Popular Posts