Haikal

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Semua khusyuk, cuba menyiapkan tugasan yang saya beri. Seorang demi seorang datang menghadap saya dengan memegang buku latihan mereka. Hasil kerja yang datang saya semak, sebelum saya lepaskan mereka untuk beratur di dewan bagi slot paling mengujakan di sekolah: pulang. Sampailah hanya tinggal seorang murid lelaki yang masih terkial-kial menyalin tulisan saya dari papan tanda ke bukunya. Bila saya periksa, terperanjat sungguh. Bayangkan dalam tempoh sejam, dia hanya menyiapkan satu perkataan. Dia Tahun Tiga!

Imbau balik ('throw back') yang tidak relevan. Hahaha. Lapan tahun lalu. Saya sama saja.

Jadi, dengan hati sedikit terkilan dan degil, saya berkeras untuk menunggu dia menyiapkan kerja yang saya berikan. Sebahagian murid sudah beransur pulang, sedang hari semakin kelam. Saya berdiri di tengah kelas, merenung kipas siling yang berpusing perlahan. Haikal masih menulis dengan sangat perlahan. Lama-kelamaan, ia jadi canggung. Jadi, saya ajak dia berbual sambil menunggu dia menyudahkan baki latihan pengajaran hari itu. Saya tanyakan tentang cita-citanya. Saya mendapat jawapan yang tidak pernah saya jangka.

"Jadi SPRM."

Ada sesuatu dalam hati saya yang benar-benar terusik.

"Kenapa mahu jadi SPRM?"

"Mahu tangkap orang rasuah!" jawabnya.

Saya tidak tahu macam mana hendak bertindak balas. Perkara-perkara sebegini tidak pernah diajarkan dalam mana-mana kuliah sewaktu program ijazah dulu. Lantas, bergerak atas simpati, saya benarkan dia pergi dengan syarat dia menyiapkan satu bahagian saja latihan yang saya suruh. Segala yang saya ajar beberapa puluh minit lalu -- tentang kemahiran saintifik -- tidak boleh menandingi didikan yang dia telah peroleh yang membolehkan dia bercita-cita hendak menjadi seorang ahli pencegah rasuah. Saya usap kepalanya.

Saya ceritakan pengalaman tersebut kepada beberapa orang rakan. Ada yang berasa kagum, ada yang mentafsir ia sebagai sekadar salah-sati perangai budak-budak. Sepanjang hari itu, ada sesuatu yang terusik di dalam hati saya, dan ia enggan tenang. Ia seperti meracau, seperti benar-benar telah menemukan sesuatu yang menjadikan semua ini berbaloi. Dan insiden itu menguatkan pendapat saya, bahawa menjadi pendidik adalah menerokai jalan menyempurnakan nurani sendiri (okay, saya tahu saya masih jauh dari itu).

Bila kau ada anak didik seperti Haikal, ia betul-betul menguji daya tahan emosimu. Kau tidak boleh jadi seperti dia, tapi kau tidak mahu menilai semula perjalanan hidupmu. Kau mulai membanding-bandingkan dirimu dengan impianmu yang sebenar. Kau mulai mengerti, biarpun kanak-kanak ini tidak boleh menyatakan enam kemahiran saintifik yang asas, sekurang-kurangnya mereka masih ada masa untuk menjadi apa yang mereka mahu. Tidak seperti engkau yang terperangkap dalam tubuh yang tekun bekerjaya, kaku dan berduka.

Kelas berdiri; terima kasih, Haikal!

Comments

Popular Posts