2013: Lupakan Buat Pembaharuan, Cari Kesejatian

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Semalam, saya tidur awal- dekat jam sepuluhlah, begitu. Jadi, melepaslah oleh saya firecrackers yang sepatutnya menerangi malam seorang lelaki solo ini (duh! Nampak sangat promosi diri). Haha, tak kisah pun. Bukannya masuk ke Neraka kalau tidak menyambut Tahun Baharu (butthurt, anyone?).

2013: permulaan baharu?

Rasanya baru minggu lepas saya menulis resolusi Tahun Baharu 2012. Jujur, saya sudah lupa apa yang saya impikan untuk tahun 2012, sehinggalah hampir kesemuanya tidak tercapai. Saya boleh katakan 90%, dan statistik ini buat saya sedih.

Jujur juga saya akui, dalam diri saya, ada suatu kekosongan. Kalau boleh saya bayangkan dalam bentuk syahadah, ianya suatu lohong gelap berdinding kasap pada dada saya. Lohong ini tidak sentiasa ada di situ, terkadang saja ia muncul. Bila ia menjengah, saya rasa sangat unfulfilled. Bila saya berangan-angan, lohong itu kawah saya menetap.

Selalu saya bayangkan diri saya sebagai manusia yang belum '100% Yassin', yang belum berkongsi apa yang sepatutnya ia kongsi, dan menyembunyikan sebahagian lagi yang sebenarnya memerlukan penyembunyian. Selalu saya dapati--tambahan lagi, apabila membaca pos lama-- diri saya bersembunyi di balik perkataan.

Saya selalu menipu diri-sendiri, katakan bahawa 'dia' punyai kemahiran yang tersendiri dan spesifik, and sport simply isn't 'his' thing (yang akhirnya menjadikan saya manusia malas bersukan). Pada akhirnya, saya ditinggalkan bayang-bayang sendiri.

Selalu saya berdoa semoga dalam hidup ini, diilhamkan seorang hamba Allah SWT untuk turun ke lembah sunyi saya, mengeluarkan saya dari kawah ini. Mengajar saya berhijrah ke daerah yang lebih cerah dan menjanjikan, bukan kekal dengan pemikiran lama di atas.

Tetapi, sampailah tahun 2012 berakhir, tiada seorang pun yang bersifat sedemikian datang. Sepanjang tahun saya berteleku di dalam sofa, menghadap serta merenung dalam ke pendiang api. Bila dipinta keluar ke dunia luar oleh desakan-desakan suara, barulah saya matikan angan-angan itu dan kembali kepada realiti.

Saya tidak pernah menyalahkan Tuhan kerana tidak mengkabulkan doa saya. Mungkin saya semudahnya tidak layak. Mungkin juga saya tidak ambil tahu, apabila 'orang' yang saya inginkan berlalu di depan mata. Maha Suci Tuhan dengan segala pengetahuanNya.

Perubahan

Dua sahaja perubahan besar yang saya nampak berlaku terhadap diri saya; 1) berjaya memaksimakan penggunaan laras Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu yang  betul dan 2) (biarlah yang ini, saya simpan). Tersenyum juga bila lihat ijazah ini.

Kemudian, saya kata, "Wait a minute... what!?". Alasannya, jika Tuhan tidak mengkabulkan permintaan saya, mengapa ada perubahan? Siapa 'dia'? Siapa yang berjaya membuat perubahan ini? Satu-satu wajah sahabat saya mulai saya bayangkan. Adalah empat, lima orang sangkut sebagai calon.

Dan ada wajah saya. Mungkinkah yang saya doakan agar diilhamkan untuk mengeluarkan diri dari kawah kehinaan, saya sendiri? (Persoalan yang menambahkan lagi bebanan). Syukur sajalah dalam diam atas pencapaian.

Dan persoalan lohong itu?

Biarlah kehadirannya yang berkala menjadi rutin. Kali ini, sebagai resolusi tahun baharu, saya tidak akan mengembara jauh lagi. Penat mengejar bayang-bayang orang lain. Cukuplah jika saya mendalami diri-sendiri dahulu.

Kali ini, biarkanlah Yassin menjadi 'dirinya'. Tuhan saja tahu apa hasilnya, kelak.

Comments

Popular Posts