Reformasi Atau Revolusi?

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

"Bang, saya sokong abang! Reformasi!"

Merenung junior ini sebentar, cuba mencari lojik di sebalik sapaannya yang tiba-tiba. Mengimbas sebarang petunjuk pada wajahnya tentang perihal sebenar. Reformasi? Reformasi apa? Pun begitu, saya menjabat tangan yang dihulurnya dan tersenyum. Dia nak suruh saya jadi reformis kah, atau apa? Lalu, terfikir untuk berbincang pasal reformasi. Jangan risau, ianya akan jadi pembacaan yang pendek sahaja buat kamu.

Reformasi

Reformasi atau kata semakna lainnya bagi sesetengah orang, revolusi--meskipun jika benar-benar dicanai pasti akan teranglah perbezaan keduanya--adalah sebenarnya suatu tindakan sedar seorang atau sekumpulan manusia yang berkongsi idea yang sama. Turut ditemukan kemungkinan bahawa kelainan ideologi tidak menghalang reformasi bersama, asal musuh sepunya dapat disingkirkan, seperti mana PAS, DAP dan PKR terhadap BN.

Reformasi selalunya dilakukan atas dasar penindasan, atau penguasaan pihak atasan yang dilihat tidak lagi relevan. Reformasi boleh berlaku secara mendadak atau gradualistik, dan kalau mendadak itu barulah digelar revolusi, sedang yang bersifat gradual itu lebih patut dipegang bagi mereka yang benar-benar rindukan perubahan. Revolusi hanya akan menyebabkan kerosakan, tambah-tambah lagi pada zaman serba kurang konvensional ini.

Reformasi dilakukan golongan minoriti adalah kurang praktikal kerana ia hanya akan merugikan mereka, justeru jarang berlaku. Reformasi biasanya berlaku apabila golongan berkuku besi memaksakan suatu perkara ke atas rakyat biasa yang majoriti. Seperti contoh, Revolusi Iran atau Enghelabi Eslami yang menolak keberkesanan monarkisme dan menggantikannya dengan sistem republik. Kasihan Shah Mohamad Reza Pahlavi.

Dalam Islam, apa kedudukan revolusi?

Saya suka merujuk pautan ini, jika ada yang membawa berbincang isu revolusi terhadap golongan pemerintah yang zalim dan fasiq. Menurut penulis masukan pautan itu, selagi mana seorang pemimpin tidak kafir abwa`, mendirikan solat, menyaksikan keEsaan Allah dan keNabian Muhammad SAW; meskipun dia fasiq, zalim dan sebagainya yang tidak elok secara akhlak, maka haram menjatuhkannya. Ramai `ulama menyokongnya (sila baca supaya tidak ragu-ragu).

Reformasi gradual pula tidaklah dilihat sebagai membahayakan. Pendekatan ini menekankan pendidikan paradigma masharakat, berbanding perubahan seratus lapan puluh darjah. Reformasi untuk meng-Islam-kan lagi Malaysia boleh dilakukan dengan banyak cara: penyebaran risalah-risalah Islam yang komprehensif, reformasi diri dan reformasi rutin umat Islam secara kolektif. Seingat saya, saya punya jurnal yang menyentuh hal ini, yang akan saya kongsikan nanti, inshaAllah.




Comments

Popular Posts