Meskipun Bajunya...

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Paparan antara muka saya luncurkan, sambil mata menekuni skrin yang bertukaran, cuba mencari senarai gambar-gambar yang saya tangkap sepanjang perjalanan ke sini (Terminal 1). Telefon bimbit yang bersambung dengan kabel pengecas, memancarkan lampu merah di bahagian atas skrin, menandakan deru elektrik sedang masuk mengisi bateri. Zulfadhli, Shahrin dan Achong masih di tingkat bawah, sedang menyaksikan sebuah pertandingan karaoke Bahasa Mandarin.

Sedang asyik menggedek Xperia S, terdengar bunyi pintu berkeriut. Seorang pemuda, mungkin dalam usia mungkin masuk dua puluh lima atau dua puluh tujuh tahun, menolak pintu surau yang saya hadapi sedari tadi. Berbaju putih corak urban dan remaja. Di depannya, ada kanak-kanak kecil dalam lingkungan lima tahun, berambut perang dan bermata coklat terang. Sebagai seorang ahli sains, kotak fikir langsung bertindak: "Oh, anak dia".

Mereka menunaikan solat Zuhur. Si anak di sebelah kiri, ayah di sebelah kanan. Mereka bersolat bersendirian. Terdapat seorang pemuda lain yang tiada kena-mengena dengan anekdot ini sedang khusyuk menghadap Tuhan. Selepas habis bersolat, wirid, doa dan sebagainya, si ayah mendemonstrasikan sesuatu yang bagi saya, sangat luar biasa. Dipegangnya bahu si anak, si anak menoleh; 

"Nak, begini cara bersujud". Lalu, di depan saya dan pemuda yang tiada kena-mengena dengan anekdot ini, dia menunjukkan kaifiyat sujud yang betul. Dahi atas hamparan sejadah; tangan diregang pada paras bahu; lengan dijauhkan dari rusuk. Oh, tanpa rasa teragak-agak atau tertoleh kiri kanan. Tersentuh perasaan: rupanya Hang Tuah sebenar di bumi Malaya ini masih belum pupus.

Adik, kau memang bertuah. Walaupun ayahmu berbaju urban, dalam hatinya ada kerinduan pada Tuhan. Semoga legasi imannya, kauteruskan. Aamiin.

Comments

Waahhh... bila korang pigi Term? x nampak pon???

Popular Posts