Tokoh

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Saya seakan-akan ingin menangis selepas terbangun petang ini. Betapa bermaknanya hal yang sedang saya perjuangkan, jika ia berjaya. Sehingga terbawa ke dalam mimpi, tertinggal dalam jiwa dalam bentuk kepingan gambar tokoh-tokoh terlibat. Percayalah, saya sanggup lakukan apa sahaja asal ia berjalan lancar.

Fantasi benar-benar membawa saya jauh dari segala kejanggalan yang saya kongsi dengannya. Syukur, wanita ini hadir dalam hidupnya, jika tidak, maka entah bagaimanalah cerita persahabatan kami. Ingin saja saya bersemuka dengan wanita ini, mengucapkan ribuan terima kasih.

Tengah hari tadi, semasa sedang berjalan untuk ke kafe, saya terserempak dengan dua tokoh terbabit. Satu bermotor dan satu berjalan kaki dengan teman-temannya, mungkin menuju ke kelas. Mula-mula arah jalan kami bertentangan, tetapi komputer riba membataskan pergerakan. Maka jalan lain terpaksa ditempuh.

Pada suatu titik, mereka seakan-akan bertembung pandangan. Sempat saya menoleh ke arah dua tokoh ini, mengharapkan sesuatu antara mereka. Ah, takdir! Apabila sahaja ia berniat untuk bermain dengan manusia, pelbagai rasa bergentayangan, bahkan terharu.

Sepanjang perjalanan selepas itu, suara Fadhli yang sejak dari tadi bercakap mengenai sesuatu sekadar suatu kesayupan. Meruap ke atas langit dan terus pergi kepada kesia-siaan. Pelbagai kemungkinan bersilih ganti: gagal, berjaya, neutral, atau sekadar berpuas hati dengan suapan takdir. Hmm, balik-balik mempersalahkan takdir.

Perasaan dapat menggembirakan orang yang kau sayang memang sangat berlainan dari perasaan kau mendapat kasut baharu dari kawan. Meskipun nyatanya kau yang memberi, namun hakikatnya kau yang menikmati kebahagiaan itu. Mungkin terlalu samar buat sesetengah, namun saya yakin dua tokoh ini tahu saya sedang memperkatakan mereka.

Good luck, guys!

Comments

Popular Posts