Syukur Kepada Derita

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Ya, saya dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga yang sederhana (atau mengikut referensi masyarakat Semenanjung, 'miskin'). Tidak pernah sekalipun dalam saat-saat hidup saya menafikan kenyataan itu. Meskipun kadang-kala menipu serta berlawak berlebihan itu kelakuan saya, namun bermuka-muka bukanlah gaya yang saya suka. Jika muka kita ada dua hidung, maka peluklah kenyataan itu.

Ramai orang di dunia--pada saat saya mengarang perenggan  pos kedua ini--menderita. Ada yang menderita kena pada masa dan tempat, meladeni hidup dalam kebuluran dan peperangan. Namun di daerah-daerah orang kaya mahupun sederhana, wabak 'derita' bersambungan. Kerana jalur-jalurnya merentas segala batas, dan mari saya beritahu sebab penderitaan mereka.

Kebanyakan manusia menderita bukanlah kerana mereka tidak memiliki perkara yang mereka perlukan, tetapi kerana mereka tidak mempunyai perkara yang mereka inginkan. Bila rasa kekurangan (sedangkan kekurangan itu bukanlah kekurangan langsung), mereka mula tidak menyukai manusia yang sepatutnya memberikan mereka perkara yang diinginkan.

Merasa kurang amal depan Tuhan itu persoalan lain. Namun, merasakan sesuatu yang kurang, meskipun bisa bernyawa untuk satu hari lagi mengundang pembalasan segera: derita. Saya lebih cenderung melihat penyebab penderitaan itu sebagai suatu yang kita boleh pilih, dan penderitaan itu sendiri adalah balasan Tuhan atas sifat manusia yang kurang bersyukur.

Engkau dari keluarga miskin? Siapa kisah! Kau hidupi kehidupan singkat ini dengan rasa bersyukur atas segala keindahannya, berbanding mengeluh atas segala kecacatannya (yang Maha Tahu sahaja faham hikmah sebenarnya), maka kau telah pilih jalan bahagia.

Selalulah berkomunikasi dengan Tuhan. Doa kau adalah percakapanmu denganNya, dan KitabNya-lah percakapanNya dengan kau. Sedar bahawa segala apa yang kau miliki pinjaman, dan kau akan bersyukur bahawa kau dipinjamkan sedikit perkara sahaja. Semakin banyak pinjaman, semakin berat tanggungannya.

Dengan bersyukur, penderitaan sirna. Segala kekurangan, kelemahan, kecacatan yang kau tidak faham meskipun usahamu sudah separuh nyawa, adalah padamu rahmat Tuhan kepadamu. Mati dalam keadaan tidak 'mengembalikan pinjaman'--melalui sumbangan atau pelaksanaan kewajiban-kewajiban--adalah kematian hina.
Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?[10] Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya) [11]
Qu'ranul Karim, Surah As-Saff, 61:10-11

Comments

Anonymous said…
Subhanallah...syukur itu nikmat yang tak terhingga..
Sven Medyona said…
Ya. Dengan bersyukur, sentiasa rasa cukup.

Popular Posts