Bersahabat (i)

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Bila kau bersahabat, kau kena faham: kawan kau mungkin tidak sejalan dengan cara kau. Kalau manusia semuanya serupa dari segi tindak-tanduk, bukankah dunia akan jadi bosan? Dan, saya percaya itu juga sebab bersahabat; untuk meraikan perbezaan antara manusia.

Kau kena menghormati cara dia hidup, cara dia berkomunikasi, cara dia menyampaikan dan menerima idea; kategori muzik yang diminatinya, serta apapun ciri yang menampakkan dia sebagai dia. Jangan ditahan andai dia memilih untuk berdiam diri, kerana dia lebih faham dirinya.

Namun ini bukan juga alasan untuk membiarkan dia terus-terusan melakukan kemaksiatan yang dia ujar sebagai cara hidupnya (berparti lewat malam, ber-couple, contohnya). Kamu harus jadi kawan sampai Syurga, bukan sama-sama ke neraka. Berbantu-bantulah.

Andaiannya, kawanmu pembuli. Zalim terhadap manusia lain. Maka tegurlah dia, lakukanlah apa saja agar dia berhenti dari melakukan maksiat yang sedang dinikmatinya dengan berhikmah. Dari Anas ibn Malik r.a, saudara yang zalim boleh dibantu dengan menghalang dari melakukan kezaliman.

Kau patut sedar, kepentingan agamamu harus berada di atas kepentingan hablum minnanaas (bersahabat). Garis agama, biarlah kamu saling memperbetulkan. Elakkan bersekongkol dalam kezaliman dan kemaksiatan.

(Ada manusia "cerdik" menyalah-ertikan perkara mementingkan agama melebihi persahabatan sebagai memutuskan persahabatan/persaudaraan. Ini salah. Menurut Tuan Guru Abdullah bin Sam`ah Pondok Geting, hukum menghancurkan perpaduan sesama Islam paling kurang fasiq [dan boleh kafir])

Persahabatan adalah tuntutan agama. Untuk berdakwah serta menyebarkan ilmu, kawan dianggap sebagai mad`u (sasaran dakwah). Kawan juga boleh sumber kekuatan dalam berdakwah, seperti mana Para Sahabat r.a Rasullullah SAW berdakwah di samping Baginda.

Menjadi kawan bukan bermaksud kau sahaja daie. 'Jawatan' tersebut bergantung keadaan yang kamu alami. Adakalanya kau adalah daie dan adakalanya kau mad`u. Sentiasa bersifat terbuka dalam menerima teguran.

Teguran yang kau buat tidak semestinya bersifat lisan. Teguran melalui teladan saya rasa adalah lebih berkesan. Menyuruh rakanmu berhenti meninggalkan solat saya raa kurang berkesan berbanding menunjukkan kepadanya apa yang solat mampu lakukan kepada seorang manusia.

Comments

Popular Posts