Hidup Itu Roda

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Bila dikatakan hidup itu roda, saya tidak terus terfikir, "Kadang-kala di atas, kadang-kala kita di bawah". Saya lebih terfikir satu perkara--bagaimana pelik atau rumit pun penciptaannya, ia punya satu tujuan yang sama. Cuba kita letakkan manusia pada analog ini.

Substituting human

Di dunia ini, ada pelbagai bangsa serta bahasa. Ada yang kaya, ada yang miskin. Yang indah dan kurang indah (jujur sajalah). Yang terhormat, yang hina-dina dan marhaen. Pelbagai. Bahkan saya percaya, jika laporan 'National Geographic' betul--bahawa terdapat tujuh bilion manusia menjelang tahun 2013 (in before: Maya, kamu salah), maka terdapat tujuh bilion varians.

Walau bagaimanapun, meskipun kenyataan ini adalah hukum mandatori bagi semua, bahkan para `anbiya dan `aulia, ia tidak membezakan kita semua dari segi maqasid penciptaan. Seperti firman Allah SWT, Surah Ad-Dzariyat ayat 56, tidak diciptakan kita melainkan untuk tunduk kepadaNya. Ibn Taymiyyah dalam tulisan 'Al-Ubudiyyah' dan Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam 'Islam: An Introduction' menyebut bahawa ketundukan kepada Allah bermula dengan makrifatullah.

Adakah perasaan beragama ciptaan manusia?

Satu tujuan ini--menyembah Tuhan--dimasukkan dalam sistem badan manusia sebagai suatu kesemulajadian, atau fitrah. 'Perasaan beragama' bagi pendapat sesetengah orang. Plutarch dan Herbert Spencer antara ahli falsafah yang menyokong kuat pendapat ini. Secara saintifiknya, pernah ditemukan dalam hemisfera otak manusia, 'God Spot'; bahagian otak yang mendorong kepada percaya kepada Tuhan. 

Dalil akademiknya, saya pernah bertanya kepada seorang ateis-evolusionis, jika benar manusia mencipta agama (dan bukan bersumber wahyu), mengapa mereka mencipta agama? Mengapa mereka perlu mengamalkan animisme; menyembah alam semesta? Dia menjawab, kerana ketakutan terhadap ancaman ini, mereka menyembahnya. Seperti contoh, keperkasaan guntur menggegar alam menyebabkan terciptanya mitologi Yunani, Zeus.

Kendatipun ianya logik, jawapan tersebut tidak menjawab dua senario: manusia yang menyembah makhluk yang tidak bermanfaat dan manusia tidak menyembah makhluk-makhluk yang menakutkan. Harimau contohnya, meskipun antara paling ganas pernah wujud, tidak pernah disembah. Secara inferens, hipotesis si ateis ini tidak boleh diterima pakai. Perasaan ini beragama bukan ciptaan manusia secara keseluruhan. Agamalah ciptaan manusia, atas alasan ianya produk manusia untuk cuba memanifestasikan perasaan beragama tersebut.

Kembali kepada persoalan roda dan manusia

Setelah siap penciptaan manusia dan fungsi-fungsinya, sebagaimana juga roda dikeluarkan dan diperkenalkan kepada dunia, manusia dilahirkan. Bermulalah perjalanan seorang manusia. Sebaik sahaja dia baligh, maka dia bertanggungjawab terhadap dirinya (agar selalu diservis diri) dan arah tuju yang ingin dilalui. Tidak lama, sebentar sahaja, ianya akan haus, lemah dan akhirnya mati. Cara dia memperjalankan hidupnya akan menentukan titik akhir riwayatnya.

Tidak kiralah di atas atau di bawah, asal arah tuju ditala kepada Tuhan, manusia akan jadi roda yang sebaik-baiknya. Wallahua`lam.

Comments

Popular Posts