Kemas Kini Diri

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Terlalu sibuk dengan percutian dan sedikit dilema diri, sehingga lupa berkongsi perkembangan terkini. Hahaha. Macamlah ada yang mahu tahu, kan? Apapun, simpan sajalah, untuk pengarkiban peribadi. Kalau nanti saya mati, taklah biasa-biasa saja, tapi ada meninggalkan arkib lama. Boleh dibuat rujukan para ahli sejarah.

Status: Biasa-biasa

Di rumah, yang selalu dibuat adalah mengunyah depan televisyen. Mencicah jemput-jemput dengan sambal pedas sambil melayan 'Aliya', main permainan komputer dan meminjam WiFi percuma hak sekolah bersebelahan untuk melayari Internet. Line rumah dipotong atas sebab pecutan kos yang tidak munasabah.

Jadi boleh dikatakan hidup saya normal dan membosankan. kecuali bila si ibu dan si kakak datang menggiat saya untuk berkahwin (atau jika tidak akan dikahwinkan), maka saya sedikit gembiralah. Seronok bergelak sakan, meski di sebalik perkataan menafikan itu, ada sedikit kebenaran tersembunyi.

Kemudian si adik yang menonong ke bilik tidur dengan PSP di tangan meminjamkan konso lmudah alihnya itu. Sekali lagi jedalah siri kehidupan yang normal. Tetapi menghadap  manusia itu lebih menghiburkan dari menghadap alat permainan tidak bernyawa tersebut. Lalu fikiran melayang jika 'dia' ada di sisi. Sampai ke petanglah asyik berlawan tenung. Hahaha. Sila abai.

Hujan. Hujan peneman tersetiakah?

Semalam berjalan-jalan di sekitar bandar Tawau (bukan pekan =_=") untuk mencari baju untuk dibawa balik ke kampus. Uish, seluar ukur 'Dapper' harga RM19.90 untuk kualiti yang berharga RM60.00, siapa yang tidak kelabu asap matanya. Ke satu gudang lain, panggilannya 'Parkwell', menjual baju awesome gila corak dan reka bentuk, harga RM23.90. Memang kalau elaun sudah keluar, habislah pada baju dan seluar.

Tiba-tiba hujan turun lebat. Jalan raya habis bergenang air, separas buku lali. Ibu yang berdiri di seberang jalan menngarah kami untuk ke tempatnya. Saya, adik ketiga dan keenam hampir berpimpinan tangan meredah curahan rahmat Tuhan itu dengan gelak yang hangat. Seperti segelas coklat cair yang hangat rasanya perasaan ketika itu.

Bagi orang lain, hujan adalah sekadar fenomena yang membawa kepada penghasilan lopak-lopak yang menjengkelkan. Tapi bagi saya, hujan punya signifikan besar. Bukan mahu bernostalgia panjang, tetapi kalau semasa kecil, hujan maksudnya banjir. Banjir maksudnya keseronokan dan keseronokan maksudnya demam. 

Melipat origami kapal, menjolok buntut katak, menyiut berudu dan mengumpat biawak adalah aktiviti yang terikut dengan kedatangan hujan. Kalau malam sejuk terkena tempias ribut hujan, ibu buatkan bubur dituang 'Bovril'. Berkelubunglah dalam selimut, di depan lilin putih yang menyala membentangkan cahayanya (selalunya, terputus bekalan elektrik) pada dinding sambil menikmati bubur tadi. 

Selepas itu, bermain lawan bayang-bayang tangan dengan ibu. Biasalah, si ibu selalu saja kalah dengan anak-anaknya, walaupun bayang-bayangnya jauh lebih besar. Konon bayang-bayang ular si anak berbisa. Ribut yang menggila di luar, langsir yang berkibar umpama layar sudah tidak dihiraukan lagi. Keseronokan bermain cairan lilin membunuh kehiruk-pikukan malam. 

Ataukah itu sekadar kenyataan bahawa saya masih terlalu muda untuk mengerti keadaan itu? ENTAHLAH. Tetapi, selepas semua memori ini, bolehkah dilupakan sang hujan?

Comments

Popular Posts