Cakap-cakap

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Ahh! Frustrated gila semua artikel yang telah disiapkan untuk penghasilan buku peribadi pertama lenyap. Terpaksalah bermula dari sifar sekali lagi, dan meskipun mengetahui bahawa perkara ini tidak akan mudah, saya berharap agar tidak terlalu cepat direbahkan kekangan seperti ini. Bohh, sayang gila dengan satu artikel, 'Fahaman Politik'. Dari penilaian peribadi saya, itulah penulisan berkenaan siyasah saya yang paling komprehensif; makna kata, kalau orang baca itu, orang akan lebih faham pendirian saya.

Sikap PM kita

Salah-satu perangai Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak, yang kurang disenangi pemerhati politik--apatah lagi yang bertentangan penta`rifan dasar dengannya adalah--ketika diminta berucap, beliau akan membacakan teks. Sebagai seorang yang sentiasa mendoakan hidayah dan mengharapkan perubahan untuknya ke arah yang lebih baik, itu kurang menyenangkan. Atau itu yang segelintir orang fikirkan.

Sebenarnya, ya; saya berperasaan sedemikian, tidak sehingga saya teringat bacaan artikel seorang ahli akademik Paul Graham [1]. Meskipun otak Paul Graham bergeliga, beliau akan menuliskan teks ucapannya dan membacakan teks tersebut di hadapan pendengar. Beliau mengemukakan beberapa hujah (yang, saya tidak ingin sebutkan semua) untuk menegakkan haknya berbuat demikian. Satu yang paling saya ingat adalah untuk mengelakkan pembaziran kata-kata.

Berbeza dengan Datuk Seri Anwar bin Ibrahim yang kaya dengan kemahiran-kemahiran interpersonal dan komunikasi. Keupayaannya memikat hati para pendengar tidak dapat saya nafikan, dan, kalau kita lihat hasrat nasional untuk melahirkan insan dengan kemahiran interpersonal yang tinggi, nampaknya beliau adalah tokoh yang pertama merealisasikan hasrat tersebut.

Dua-dua punya cara tersendiri
Dari pendapat saya, kemahiran berucap tanpa atau dengan teks ada kebaikan dan keburukan tersendiri. Dari segi psikologi, berucap tanpa teks lebih memberi kesan, lebih interaktif dan lebih meluas (baca: sifatnya yang liberal serta responsif), kerana di situlah pengucap/pemidato boleh memanipulasi situasi dan mendekati hati para pendengarnya. Berucap dengan teks pula menekankan nilai integriti masa dan fokus/tujuan ucapan, tidak berjela dan lebih berisi, justeru menyebabkan pendengar lebih berpengetahuan selepas menghadiri ucapannya.

Kendatipun, berucap tanpa teks boleh menyebabkan kesalahan atau kekurangan informasi [2], pencabulan integriti masa, sikap demagog berlebihan dan retorik kosong, yang--kalau majlis ucapannya dihadiri golongan kritis--akan membuatkan mereka menyampah. Berucap dengan teks pula tidak interaktif, tidak meluas, tidak komunikatif dan kurang memberi kesan psikologi. Bagi sesetengah orang, sukar untuk tidak berasa terkilan jika ke mana-mana majlis ilmiah, pemberi ucapannya membaca teks yang tersedia.

Yang mana lebih baik?

Persoalan yang mana lebih baik adalah sesuatu yang relatif kepada pemberi ucapan dan pendengar. Kalaupun ucapan berdegar-degar sehingga pendengar rasa seperti terangkat dari bumi dengan emosi, tetapi isinya kosong, maka ucapannya tidak lebih dari laghoh dan pembuangan air liur. Kalau yang memberi ucapan mempunyai isi yang betul-betul mantap, saya sudi menghadiri majlisnya.

Secara peribadinya, saya tidak mempunyai masalah dengan mereka yang membaca teks ucapan, setelah merenungi keperluan sebenar suatu pengucapan. Saya lebih cenderung menggunakan akal dari emosi dalam mentafsir penyataan seorang memberi ucapan (sudah ditipulah, konon-kononnya). Kesimpulannya: saya pun bingung hendak memutuskan yang mana. Mungkin ikut pendapat Graham, barangkali ;) [3]

Skenario di Malaysia

Skenario di Malaysia, warganya lebih memilih manusia yang pandai menjeritkan kata-kata sakti dan bombastik, sedangan kesannya tiak kekalpun untuk jangka masa yang lama. Warga Malaysia suka untuk disanjung, dimuliakan pemberi ucapan, kononnya dibela hak dan dipayungi dasar-dasar yang lebih banyak retorika berbanding praktikaliti.Mereka berasa nikmat berendam dalam lautan demagog.

Itu adalah ortodoksi masharakat kita. Paradigma yang sukar diubah. Tabu yang tidak berpenghujungan hinaan dilemparkan kepadanya. Asal saja seorang lelaki menjinjing segenggam kertas A4 bertaip melangkah ke rostrum, maka terus dikata, "Alaa, PA-nya yang tulis", lepas tu buang konsentrasi. Gunakan emosi lebih berbanding akal. Anjakan perlu dibuat untuk mengubah persesi ini. Reformasi!



Rujukan & Notakaki:

[1] Graham, Paul (2012). Writing & Speaking. Dilayari pada 01 Disember 2012, melalui URL: <http://www.paulgraham.com/speak.html>

[2] Language in use. Language Models: 1. Unscripted Conversation. Dilayari pada 1 Disember 2012, melalui URL: <http://www.putlearningfirst.com/language/15doms/frameworks.html>

[3] Saya tidak mengatakan berucap tanpa teks itu salah, kerana Rasulullah SAW sendiri berucap sedemikian. Cumanya, Baginda dipandu wahyu dan sememangnya itu kurnia Illahi ke atasnya. Pandai-pandailah kita melihat diri kita pada kedudukan mana. Lagipula, saya bercakap mengenai pidato dan pengucapan, bukan ceramah dan cakap-cakap agama (walaupun bercakap melalui teks dalam sidang-sidang tersebut lebih baik bagi saya).

Comments

Popular Posts