Bahasa VS Kecemerlangan II

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Kerana terdapatnya banyak program maktab, maka terpaksalah penulisan ditunda. Tanpa berlengah, mari kita lihat mengapa perjuangan bahasa itu sebenarnya salah-satu jalan menuju ke arah pemupukan hidup beragama. Saya akan lebih menjawab persoalan "bagaimana". Kita mulai dengan Surah Ar-Ruum, ayat 22:
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan."
Dalam ayat Al-Qur`an ini, jelas ditunjukkan bahawa bangsa, warna kulit dan bahasa itu bukanlah suatu ketidaksengajaan genetik atau suatu produk evolusi tanpa tujuan, akan tetapi ianya telah dirancang olah Al-Khaliq bahkan mempunyai tujuan pula. Ini point pertama saya kalau ditanya bagaimana Islam memandang manusia. dan pluralisme kemaujudannya.

Pluraliti bangsa dan bahasa sudah lama menjadi subjek perdebatan para `ulama dalam alam ilmu Islamiyyah. Antara `ulama yang menyentuh perkara ini dalam penulisan mereka adalah Dr Muhammad `Imarah, As-Syahid Imam Hassan Al-Banna dan Dr. Syeikh Yusuf Qaradawi, yang inshaAllah akan saya utarakan pendapat-pendapat mereka sebentar lagi.

Pemahaman sendiri

Sesetengah saudara yang prihatin menegur sikap saya yang seperti berlagak tahu, dengan mentafsir ayat-ayat Al-Qur`an mengikut suka. Kalau dilihat, saya kira ianya tidak salah, selagi kita tahu, faham dan sedar batas mana yang perlu dipatuhi. Al-Qur`an bukan milik `ulama. Kalau dilihat, merekalah (sebahagian) yang menjadi punca pentafsiran ayat-ayat yang songsang.

Jadi, apa yang saya faham mengenai 30:22 adalah begini:- Tuhan berikan kita warna kulit, bahasa dan bangsa bukanlah atas sebab ingin membeza-bezakan makhluknya sehingga mereka bertelagah, tetapi kerana ingin mereka saling mengenali antara satu dengan yang lain. Sesungguhnya tiada interaksi aktif dan berkesan akan berlaku jika kita semuanya sama.

Dalam Hukum Termodinamik yang ke-2, apabila dua bahagian yang diletakkan bersebelahan mempunyai suhu yang berbeza, maka terjadikan proses pemindahan tenaga haba kepada bahagian yang kurang habanya;, sehingga tahap amaun habanya mencapai titik equilibrium. Hanya setelah terjadinya perbezaan, maka barulah terjadinya interaksi untuk saling mengimbangi, dan dalam proses itu - pada peringkat manusia - terjadinya pembelajaran.

Perbezaan bahasa dan bangsa ini telah menerbitkan cabang ilmu yang banyak; sosiologi, antropologi, sivik dan patriotisme, dan macam-macam lagi. Daerah ilmu ini telah menyumbang kepada berkembangnya masyarakat atau individu yang bergerak ke sana-ke mari untuk mempelajari ilmu. Kita mampu mendalami diri, dan menghargainya secara lebih jauh ke dalam, dan menganjur ke hadapan.

Tambahan pula, dakwah yang dituntut ke atas ummat Islam hanya boleh disampaikan dengan berkesan secara simbolik (bahasa). Lev Vygostky berkata bahawa bahasa itu adalah medium sosial dan sejarah yang penting, penghubung manusia antara manusia yang berkemampuan untuk berbicara. Maka perbezaan bahasa menjadi alasan atau sebab untuk manusia saling merapati antara satu sama lain, demi untuk menguasai bahasa antara satu sama lain. Kerana dengan penguasaan bahasa lainlah, dakwah boleh disebarluaskan lagi.

Terakhir adalah berkenaan pemberian Tuhan. Saya tidak percaya bahawa saya ini Bugis-Melayu-Sepanyol-Brunei-Sulu atas sebab ketaksengajaan. Saya diciptakan ke dalam kalangan rakyat Malaysia untuk berdakwah di dalam halaqah Malaysia. Begitu juga kamu, tidak kira di manapun posisi kamu di muka bumi ini. Dan mengenangkan bahawa hanya dengan kehadiran bahasa barulah interaksi saling kenal-mengenal di jalankan, maka mediumnya (bahasa) harus dipelihara.


Kecemerlangan tidak mungkin dilihat tanpa pembawaan diri

Salah satu - dan kadang-kadang, satu-satunya - pentas untuk manusia mempersembahkan dirinya adalah melalui kemahiran berbahasa. Seorang syeikh kabilah Arab dihormati kerana kepetahannya berpidato, para filsuf Barat seperti Homer, Socrates dan Aristotles juga terkenal kerana kata-kata mereka. Nabi Danyal r.a mentafsir mimpi melalui kata-kata, bahkan hadith Nabi SAW disampaikan melalui bahasa (lisaan). Bayangkan jika kesemua tokoh ini tidak mahir berbahasa, maka bukankah telah rosak dunia?

Secara lumrahnya, seorang pemidato adalah kelihatan lebih cerdik berbanding seorang pendiam.  Seorang pendakwah adalah lebih `alim berbanding seorang `abid. Seorang guru lebih dihormati berbanding seorang jurutera. No hard feeling, tapi inilah realitinya. Mana ada dalam lipatan sejarah dunia, manusia diingati tanpa diingati sekaligus kata-katanya!

Sewaktu menuliskan ini, saya sedar bahawa sifu saya: Nokkenbuer dan Paul Graham pasti akan bengang dan berang dengan pendapat saya. Nasib baiklah ditulis dalam bahasa Melayu, jika tidak. Haha. Apapun, meskipun bahasa bukanlah pengukur terjitu kebijaksanaan, namun tidak dapat ditolak lagi bahawa Howard Gardner tidak akan mampu menyampaikan syarahan tesisnya tanpa kemahiran bahasa.

So, apa kata Hassan As-Syahid Imam Hassan Al-Banna dan lain-lain tokoh?

As-Syahid Imam Hassan Al-Banna pernah menuliskan sebuah warkah sepuluh wasiat beliau.  Wasiat kelima beliau adalah, "Kuasailah bahasa Arab Fushah, kerana itu syari`at Islam". Hujjatul Islam, Dr Yusuf Qaradawi pula menyebut bahawa, "Tidak salah semangat nasionalisme, asal ianya tidak menghalang usaha mengikat ukhuwah Islam, atau tidak bertumbuh menjadi separatisme egoistik yang boleh mengancam persefahaman ummah". Begitu juga dengan bahasa, saya kira. Jika tidak diamalkan atas dasar "Assobiyah itu bukan jalan kami", maka di manakah nikmat Allah SWT ini dibuang?

Pandangan dan ulasan yang lebih menarik dikemukakan oleh Dr Muhammad Imarah dalam penulisan agung beliau, 'Al-Islam wat-Ta`addudiyah: Al-Ikhtilaf wat-Tanawwu fi Ithaaril-Wihdah'. Beliau menggunakan sebanyak lapan muka surat bagi menjelaskan bahawa pluraliti (kepelbagaian) suku, bangsa, ras, warna, kabilah, lidah, nasionalisme dan peradaban itu adalah dalil kekuasaan Tuhan itu Sendiri. Logiknya, pereka yang mereka banyak rekaan bangunan akan kelihatan lebih hebat berbanding yang hanya mereka sebuah rekaan sahaja.

Apapun, rahsia kenapa Allah SWT menjadikan kita pelbagai bangsa, pelbagai warna kulit dan utamanya dalam entri ini - bahasa - hanyalah ada di sisi Allah SWT. Entri ini sekadar pentafsiran saya berkenaan isu bahasa versus kecemerlangan. Sebagai kesimpulan, walaupun saya mengatakan kemahiran berbahasa itu rubrik utama penilaian kita terhadap seseorang, dan medium utama dalam agama; ini tidak bermakna yang tidak punya masteri tidak pintar. Cuma kalau mereka benar-benar pintar, kekurangan mereka itu sepatutnya mereka isi dengan pendidikan terhadap diri, bukan sekadar duduk termangu sambil menuding jari, mengherdik golongan pembela bahasa.

Sekian.

Comments

Popular Posts