Sesuatu Untuk Saya Fikirkan

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Kalaulah kita bisa menerawang ke awan tinggi. Menangkap sekawan awan yang meranduk bayu atas angin yang senyap dan dingin. Tikamana senja sudah di ufuk, gelap menabiri langit sebelah sana, kita kumpul gemawan itu dan masukkannya dalm kantung gergasi. Bila kerja terlalu menghisap tenaga, kita buka kantung itu sedikit, mengirup kandungannya; dan mengingatkan diri, bagaimana indahnya rasa berada di atas sana. Sayang manusia tidak berkepak. Kalau tidak, sudah pasti saya bawa kamu semua ke daerah cinta dan kasih sayang saya. Kalau ikut Encik Azerai-lah.

Bila malam kita berduduk-duduk di bawah bulan sambil menghadap lautan yang tiada berhenti menampar mesra darat. Yang pandai bermain gitar, memetik temali dengan dendangan gembira; lagu 'Kau Ilhamku' atau 'Anak Laut' kita bersama. Unggun api yang sesekali berdehem, melepaskan butir-butir bara ke udara, menghangatkan insan-insan yang saling bersuka. Ini, sila buat berjantina. Pernah ternampak muda-mudi ditazkirah di Tawau, kerana melanggar tatsusila manusia beragama.

Tidak sukar membayangkan yang indah-indah buat diri. Namun yang pahit, yang harus ditelan adalah, ia hanya boleh dinikmati dalam kepala, dihayati dalam pasrah kita tidak berkuasa memberikan diri-sendiri ruang, masa dan keupayaan melakukan segala yang kita senaraikan dalam, apa, wishlist (?). Jadilah kita manusia yang meratap dalam hati, menatap ke luar jendela, terus khali dengan khayalan nan indah. Wuhu~'Nan Bercinta'? Atau 'Naan Bercinta'?

Lalu dalam kitab-kitab serta melalui ilham, Tuhan berikan kita alternatif yang boleh selesaikan kemiskinan jiwa itu. Pertama, kesyukuran. Lihat sekelilingmu. Jam, labu sayong, segelas air Nescafe, bola persahabatan, yang kalau diputar kekuncinya memainkan melodi syahdu, dompet berisi uang dan berjilid buku yang belum terbaca. Di luar sana, di mana-manalah, ada yang sedang mengeluh sebagaimana engkau mengeluh pasal dunia impianmu, untuk menjadi kau.

Kedua, solat dhuhaa dan qabliyah Subuuh. Dua ini adalah kunci kekayaan dunia DAN akhirat. Kalau kaya dunia saja sedetik tidak kekal, namun kemewahan di sisiNya menjadi pemberat timbangan amal, di Padang Mahsyar kelak. Semua kawanmu, petikan gitar mereka, unggun api dan baranya, serta sang  rembulan yang kau sangka teman, semuanya tiada di pandangan. Yang ada, amal yang selalu diabaikan, namun masih bisa tersenyum memanjat neracamu. Terlalu lambat? Barangkali.

Hari ini masih ada, buat pembaharuan. Ataupun setidaknya,  kekalkan yang baik, kurangkan yang buruk. Satu sikap sahaja setiap hari, bukan sekali gus. Tidak mampu? Satu sikap setiap minggu. Dalam beberapa bulan, kau akan menjadi makhluk syafawi, terpilih bersiram dalam redha dan rezekiNya sepanjang usia. Dan siapa tahu, dalam rezeki itu, bersuka ria di tepi pantai dengan lagu-lagu rakyat jadi keistimewaan yang Tuhan berikan?

Aamiin.

Comments

Popular Posts