Denigrasi

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Berikutan artikel tulisan Zul Fikri Zamir yang mengulas berkenaan sistem di IPGM, banyak perdebatan meletus, baik maya mahupun dalam dunia sebenar. Jika tidak pun Zul Fikri berjaya merubah sistem IPGM yang berterusan menjadi radas pemerintah, beliau telah akhirnya mengocak air yang membuatkan segelintir anak muda gopoh menghisab semula langkah.

Sinar di tengah 'zombies'
Negara ini kurang mahasiswa yang bersikap dengan segala macam situasi, khususnya sosial yang berlaku di sekeliling mereka. Asal dompet berduit, rokok dalam kotak masih ada dan si dia masih tegar menghantar SMS, itu sudah cukup. Walaupun kewujudan internet seperti sudah berjaya merekatkan masharakat lebih rapat, dan memberikan mahasiswa ruang lebih luas untuk berilmu dengan ilmu yang baik - yang menurut Zul Fikri Zamir - ilmu yang kembali kepada masyarakat, apa yang berlaku hanyalah masalah yang lebih bertimbunan.

Namun, tidak semuanya begini. Dalam ramai-ramai yang "jaga tepi kain sendiri" dan "cemerlang melalui proksi", ada juga yang lantang bersuara. Ada juga yang mahir menelusuri denai keilmuan, membahas kewajaran supra-mazhab dan sebagainya. Ada yang gagah mendepani golongan perosak agama. Zul Fikri sendiri, Hilal Asyraf, Mat Luthfi, Shahril Sapuan, Afiqme Mohamad dan ramai lagi dilihat remaja prodigal yang faham seni memiliki ilmu dan beramal dengannya. Toh begitu, siapalah saya untuk melabel orang.

Zul Fikri Zamir adalah teladan dari dalam kalangan guru muda di negara ini. Bukunya, 'Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang' (SBPUBK) menunjukkan citra yang sudah sangat matang. Ulasannya yang meluas, walaupun jujurnya, tiada keselanjaran antara topik (atau saya yang buta). Tidak seperti penulis sebayanya yang saya baca penulisan mereka, yang hanya tahu melambakkan masalah, beliau membentangkan suatu paradigma yang cukup mencabar kejantanan mahasiswa Malaysia.

Perbahasannya mengenai IPGM adalah suatu yang menyakitkan hati. Bukan menyakitkan hati kepadanya, tetapi kepada mereka yang menggagaskan sistem pendidikan kita. Jalan yang dahulunya kabur dek justifikasi sendiri semakin terjelas dengan singkapan yang beliau ungkapkan. Cadangannya untuk membebaskan guru - sebagai akar masyarakat - daripada dakap kuku besi kerajaan juga cukup mengghairahkan para pencinta kebebasan bersuara.

Ringkasan masalah: Idealisme dan Mekanisme

Secara prima facie, ya; pendidikan negara mengangkat darjat manusia. Lihat sajalah dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Guru. Kedua-duanya mempunyai aspirasi mahu membentuk murid yang ahli segala jurus kemanusiaan. Disebutkan bahawa pendidikan adalah suatu usaha berterusan ke arah melahirkan insan seimbang JERIS. Sejauh mana keupayaan kita dan keberkesanan sistem dalam merealisasikan hal ini?

Pernah dahulu berdiskusi dengan seorang senior berkenaan FPK. Katanya, yang ingin dilahirkan oleh falsafah ini adalah malaikat, dan sistem pendidikan negara mengarahkan kita (barisan guru) untuk membentuk murid sedekat mungkin kepada deskripsi tugas ini. Satu hal, kita lebih mulia daripada malaikat. Satu lagi, bukankah keadaan ini akhirnya akan menghasilkan paradoks?

Dengan aspirasi melahirkan insan sedekat mungkin kepada insan yang benar-benar seimbang (lalu sempurna. Atau kamil, menurut mereka), yang memerintah melaksanakan pelbagai macam program yang sebahagiannya tidak masuk ke akal. Bukan sekadar itu, lambakan kegiatan yang guru serta guru pelatih wajib sertai membebankan mereka. Cikgu katanya sebagai 'social transformant' harus bersiaga pelbagai aspek mendepani cabaran.

Di sekolah, guru yang terpaksa tunduk kepada autoriti, melampiaskan bebanan kerja mereka kepada murid-murid. Mereka disuruh menghafal pelbagai perkara yang mereka tidak kepingin. Mereka disumbat dengan bermacam-macam aktiviti, obligasi, dan tuntutan "demi masa depan yang cerah". Unsur jiwa jarang diterapkan. Tips, soalan jangkaan dan tuisyen bertujuan untuk menjadikan anak-anak - yang awalnya dahagakan ilmu ini - penghafal yang baik.

Maka daripada atasan ke golongan terkesan di bawah, keadaan yang terlalu mementingkan ilmu berstruktur ini menyebabkan ilmu hilang auranya. Mereka menjadi pengingat proses fotosintesis, namun gagal memikirkan kesannya terhadap jiwa. Nilai yang menjambatani ilmu dengan akhlak terputus di tengah. Natijahnya, lahir manusia berotak tidak berhati. Gejala sosial meningkat, sekali lagi guru mendapat tamparan, baik masyarakat mahupun kerajaan.

Dua perkara ini; idealisme dan mekanisme sistem pendidikan telah memasamkan esensi ilmu yang manis dan lazat dihirup. Kanak-kanak yang cemerlang hari ini adalah kanak-kanak yang paling maksimum dalam memenuhi tuntutan kehendak sistem, bukan yang benar-benar mahir menggunakan otak mereka. Yang bijak terkadang terkebelakang, kerana tahu sajalah, kalau seorang budak benar-benar pintar, mereka mempersoalkan setiap yang mereka pelajari.

Konklusi

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2016 yang dikatakan hasil sumbang saran 55,000 orang ahli pendidikan negara diharapkan menyediakan sesuatu sebagai tebusan atas dosa-dosa sistem pendidikan nasional yang lalu terhadap kanak-kanak yang terperangkap di dalamnya. Benar barangkali, apabila pendidikan dijadikan radas politik, dan pemenuh keinginan nasional semata-mata, apa jenis manusia yang ia hadapi tidak lagi dikisahkan. Asal dapat semua A, boleh jalan sudah.

Comments

Popular Posts