Prodigi

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Dari Kitab Riyadhus Shalihin, dua perkara saja yang dihalalkan berdengki kerananya; kekayaan, apabila ia disedekahkan dan mereka yang beramal ibadah dengan banyak sekali. Seorang remaja yang baru-baru ini meninggal dunia di Turki - ya, Saudara Ahmad Ammar - jika hendak diukur jasanya kepada umat sekeliling, memang patut dicemburui.

Tak payahlah saya sebutkan biografi dan sumbangan beliau di sini, itu banyak di Internet. Namun, saya cuma mahu meluahkan rasa terkilan. Ya Rabb, kalau diletakkan saya bersebelahan dengan beliau, kerdil rasanya. Tapi yalah, hanya setelah sesuatu hilang, barulah ia dilihat; saya pun bersikap begini. Al Fatihah buat beliau.

Saidina Ali Karamallahu Wajhah r.a pernah berkata, "Apabila kamu disayangi Tuhan, seluruh alam akan mencintaimu". Reaksi masyarakat setempat (orang Turki) dan layanan penuh hormat mereka terhadap jenazah Ahmad Ammar serta perhatian dan jutaan doa daripada rakyat Malaysia menunjukkan kenyataan ini.

Tidak juga itu, tersebarnya berita kematian pelajar bidang Sejarah Universiti Marmara ini dirempuh sebuah van ambulans telah membuka mata ramai manusia khususnya remaja - apalagi, saya - kerana hanya setelah beliau pergi menghadap Illahi, barulah segala sumbangannya dilihat. Sebutan seorang kawan, "Kematian yang membangkitkan".

Semoga ruh beliau dicucuri penuh rahmat.

Comments

Popular Posts