Biarlah Pengalaman Yang Menjadikanmu Mulia

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH


Bilamana saya merenung peribadi mulia dan tersanjung meskipun masih muda, saya secara automatis akan mengukur diri di samping mereka. Entah apa, egoisme barangkali yang semahu-mahunya dijunjung tinggi dalam kalangan masyarakat, dengan idea-idea revolusionari dan makalah yang tebal sarat pemikiran. Ya, saya akui, saya mahu se-berjaya mereka. Orang yang dirindui autografnya. Puhh, simpan kesumat nampak?

Kemudian (baru tadi), saya terfikir, begitukah sebenarnya mulia? Hanyut sekali dengan budaya populis dan hilang momentumnya saat bah pemikiran yang lebih bergaya dan lebih besar datang menerjah. Seperti contoh budaya kebangkitan golongan tradisional pejuang Bahasa Melayu. Pada era moden sekarang, tradisionalisme sudah dianggap lapuk atau obsolete. Lihat hujah Abdul Rahman Embong dalam 'Negara-Bangsa'.

Saya berkeputusan untuk berubah. Kalau nanti saya mulia, biarlah saya dimuliakan kerana pengalaman saya yang banyak dalam meniti usia, bukan kerana hasil kerja kelam-kabut sejilid buku seputar idea-idea baharu pendidikan. Saya tidak mahu bila kematangan sebenar-benar datang, saya menggelakkan diri-sendiri. "Ah kau, Yassin. Lihatlah hasil tindakanmu." Saya tidak mahu.

Ataupun, kalau mulia tidak melonjakkan saya ke landasan sebenar, saya tinggalkan saja cita-cita menjadi penulis. Bukan tidak mahu menyebarkan kebaikan, tetapi blog bukankah ada? Buat apa membiarkan masyarakat membeli sesuatu yang boleh didapatkan dengan percuma? Rezeki boleh cari mana-mana, kawan. Tapi redha Tuhan ... fuhh (saya jenis yang sukar kawal riya dan takkabur).

Saya mahu diri saya insaf (makna: sedar) dengan pemikiran sendiri, tindakan sendiri, konsekuensi yang terhasil daripada sikap sendiri dan reaksi sendiri, dan bukan melakukan sesuatu atas dasar menjadi populis. Saya tidak mahu tatkala orang berhenti bercakap mengenai pendidikan, saya langsung bertukar jalur, beralih daripada pendidikan ke perkara yang didahagakan manusia. Ini kerja orang lain.

Kalau benar saya boleh mulia, biarlah pengalaman yang menjadikannya. Atau macam Uwais al-Qarni r.a. Hahaha; amboi, angan-angan kau, Sin!

Comments

Fara Musa said…
Congratulation :)
Sven Medyona said…
Thanks, sis.

I hope this spirit stays with me :S

Popular Posts