Teknologi

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH


Sewaktu manusia tinggal di gua-gua dahulu, teknologi seringkas lukisanlah yang menyebabkan kita mengenal budaya dan tatacara hidup mereka, melalui lakaran-lakaran prasejarah pada dinding gua. Mereka berjaya meng"abadi"kan diri mereka dengan jalan itu. Mereka bebas dari keterbatasan masa.

Masa berputar, ketamadunan berkembang. Dari mula terciptanya roda dan gandar, ke pesawat Airbus A380, manusia bergerak dengan kadar lebih pantas, pada ketersampaian yang hanya menjadi impian orang dahulukala. Denai yang dahulunya berminggu-minggu diambil untuk diredah, padang pasir yang luasnya seluas lautan, kini dengan mudahnya direntasi dengan pesawat. Manusia bebas dari keterbatasan jarak.

Seiring masa, komunikasi manusia turut berkembang. Dari lolongan, ke isyarat asap, sastera, komputer sehingga ke telefon pintar, mobiliti manusia untuk berhubung antara satu sama lain menjadi pesat dan pelbagai, sehingga terkadang mahu balik pun, keliru untuk memilah menggunakan apa. Kenalan boleh muda boleh tua, boleh miskin boleh kaya, boleh sengkek boleh jelek; bagus. Namun boleh juga berkawan dengan sibangsat perosak darjat. Manusia bebas dari keterbatasan strata sosial.

Keseluruhan idea teknologi adalah untuk mempermudah, menjimat tenaga, menambah alternatif, mengurangkan kos dan meningkatkan gaya hidup walau bagaimanapun ranap runtuh. Komunikasi sosial maya jadi medan perang politik dan perang saudara, pornografi dan sandiwara. Kenderaan yang membunuh ramai orang setiap hari, jadi bebanan hidup bagi yang lain atas kos yang berlipat ganda atas cukai eksais dan segala macam lagi.

Malang bagi teknologi, ia selalu dipisahkan dari moraliti. Panduan teknikal gunanya ada, pedoman moralnya tiada. Kau mahir guna komputer, kau pandai-pandailah gunakan. Hendak menggodamkah, hendak menyebar fitnahkah, untuk berbicara hal-hal dustakah; semuanya digantung pada lehermu. Kerana ini hidup sebagai manusia akhir zaman lebih sukar, perlu lalui penuh sabar. Maka berhati dan berhati-hatilah.

Kalau dulunya ia mengangkat kemanusiaan dengan membebaskan, kini ia membenamnya dalam-dalam dari kepercayaan lalu menghinakannya. Lalu, apakah teknologi hari ini, benar-benar teknologi? Serta, bukankah aneh:- teknologi yang sepatutnya membebaskan manusia dari keterbatasan ilmu jadi sebab terperangkap dalam sandiwara yang tidak jemu-jemu?

Comments

Anonymous said…
"..kita ini hendak di apalah, kalau dia rela mengikut sahaja..." kata-kata A Samad Said dalam tulisan beliau.

Teknologi boleh jadi ibu kepada ilmu, tapi boleh jadi juga ibu kepada kebejatan ilmu.
Sven Medyona said…
terkadang, suka membayangkan hidup manusia tanpa ini semua. but then...

Popular Posts